Selasa, 28 Julai 2020 | 3:08pm

Syor lanjut moratorium elak risiko hutang tak berbayar

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat meminta kerajaan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan lagi selepas September ini bagi mengelak risiko krisis kewangan berikutan kemungkinan peningkatan mendadak pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada kalangan peminjam.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata peningkatan NPL secara mendadak itu boleh berlaku sekiranya ramai peminjam tidak mampu membayar pinjaman ekoran penamatan moratorium automatik pada September ini, ketika ekonomi belum pulih berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sekiranya berlakunya peningkatan NPL dalam kalangan peminjam, ia dikhuatiri menyebabkan kerugian sebenar kepada institusi perbankan di negara ini.

"Bank dijangka hanya menanggung kerugian apabila pinjaman yang diberikan bertukar menjadi NPL di mana status ini diguna pakai apabila peminjam gagal membuat bayaran untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.

"NPL sebelum moratorium adalah sekitar 1.57 peratus iaitu kadar yang rendah. Namun aktiviti (ekonomi) yang masih merudum ditambah dengan kemungkinan peningkatan semula jangkitan COVID-19, akan menyebabkan ekonomi tidak menentu.

"Justeru saya menggesa kerajaan untuk menimbangkan sambungan tempoh moratorium (selama) enam bulan lagi bagi mengurangkan bebanan kepada rakyat serta mengelakkan berlakunya krisis kewangan sekiranya peningkatan NPL mendadak apabila moratorium ditamatkan sedangkan ekonomi belum pulih," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bahawa sistem perbankan dianggar mengalami kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan maksud kerugian yang dinyatakan itu. Ini kerana moratorium adalah penangguhan bayaran ansuran, bukannya pembatalan hutang di mana institusi perbankan masih akan menerima bayaran selepas tamatnya tempoh moratorium itu.

Bank juga dapat menikmati cukai khas ketika keuntungan tertangguh sepanjang moratorium melalui layanan cukai khas kepada institusi kewangan ke atas pemberian moratorium kepada pelanggan seperti yang termaktub dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0.

Berita Harian X