Isnin, 27 Julai 2020 | 4:15pm
Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (empat dari kanan) melihat bilik operasi ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Kawalan SMART, JPS Malaysia dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Ampang. -Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (empat dari kanan) melihat bilik operasi ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Kawalan SMART, JPS Malaysia dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Ampang. -Foto NSTP/Hazreen Mohamad

MEWA kaji tebatan banjir lebih efektif

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) sedang membuat kajian untuk melaksanakan projek tebatan banjir secara lebih efektif bagi menangani masalah banjir di seluruh negara, khususnya di pusat bandar utama.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata kajian itu termasuk perancangan mendalamkan sungai dan memperkukuhkan struktur tebatan air atau ban sedia ada.

"Kita mahu pastikan pihak berkuasa dapat mengawal aliran banjir yang teruk.

"Itu elemen fizikalnya, yang lain seperti hujan lebat berterusan selama tiga jam kita tidak boleh kawal perkara itu.

"Selain itu, pelaksanaan tebatan di luar dan dalam bandar berbeza. Sebagai contoh, selalunya kita buat tebatan di luar bandar bagi menampung keamatan hujan antara 60-80 milimeter (mm). Kalau di bandar kebiasaannya lebih 100 mm.

"Baru-baru ini, kejadian banjir yang menunjukkan keamatan air sehingga 192 mm di Hulu Langat dan Kajang. Banjir itu berlaku kerana Sungai Langat hanya dapat dapat menampung air antara 60-80 mm. Masalah itu akan diteliti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Kawalan SMART serta Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal, berkata pihaknya turut bekerjasama erat dengan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan kajian itu selepas mendapat laporan kejadian banjir kerap berlaku di kawasan perumahan.

"Sebenarnya, setiap rumah yang dibina mengikut garis panduan Manual Mesra Alam versi kedua dikeluarkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

"Tetapi, mungkin ada masalah yang lain akan timbul. Tidak semestinya banjir disebabkan struktur rumah itu, mungkin ada longkang sekitar tidak diselenggara dengan baik.

"Kita akan mendapatkan pandangan dan maklum balas pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi KPKTmembabitkan perkara ini," katanya.

Mengulas mengenai Terowong Lebuhraya SMART, Ahmad Masrizal berkata,terowong itu membantu kerajaan mengelakkan kerugian berjumlah RM1.4 bilion akibat banjir teruk, dari 2007 hingga tahun ini.

"Persepsi orang ramai kononnya SMART adalah satu penyelesaian banjir kepada pengguna jalan raya di Lembah Klang, tetapi sebenarnya SMART itu hanya untuk pengguna di kawasan berdekatan seperti Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

"SMART juga adalah antara 10 terowong terbaik di dunia. Ia juga mempunyai dua fungsi berbanding terowong lain yang hanya berperanan untuk selesaikan isu banjir.

"SMART juga mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar," katanya.

Ahmad Masrizal berkata, JPS sudah memasang sebanyak 472 stesen siren di beberapa lokasi tertentu.

"Ia bagi menghadapi kejadian banjir kilat ketika musim barat daya ini.

"Stesen ini akan mengesan dan mengeluarkan amaran banjir kepada penduduk sekitar untuk mereka menyelamatkan diri dan harta benda," katanya.

Berita Harian X