Isnin, 27 Julai 2020 | 1:16pm

Lebih 394,000 peminjam dihubungi untuk struktur, jadual semula pinjaman - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Pihak bank telah menghubungi lebih daripada 394,000 peminjam setakat ini bagi menawarkan bantuan seperti penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman untuk terus membantu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 75,000 peminjam adalah PKS.

"Bank-bank, secara proaktif sedang giat menghubungi para peminjam untuk menawarkan bantuan bersasar termasuklah memanjangkan tempoh pinjaman agar jumlah ansuran bulanan dapat dikurangkan dan memberi pelepasan lain yang bersesuaian sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

"Selain itu, bank-bank turut menawarkan pengubahan terma utama dan syarat pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah. Sebagai contoh, kemudahan overdraf ditukar kepada pinjaman bertempoh," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail BERNAMA

Ini sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai sama ada moratorium kewangan akan dilanjutkan selama enam bulan lagi serta bentuk bantuan yang akan ditawarkan jika langkah itu tidak dilanjutkan.

Langkah moratorium itu telah diperkenalkan selama enam bulan antara April hingga September 2020 bagi membantu peminjam individu dan PKS mengurangkan beban aliran tunai, terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tengku Zafrul berkata hingga kini, lebih 7.7 juta rakyat atau 93 peratus peminjam individu serta lebih 243,000 perniagaan atau 95 peratus daripada peminjam PKS, sedang memanfaatkan moratorium pinjaman tersebut.

Walaupun moratorium tidak meliputi hutang pemegang kad kredit, bagi peminjam yang menghadapi masalah kewangan, bank-bank sudah menawarkan penukaran baki tertunggak kad kredit kepada pinjaman berjangka untuk tempoh hingga tiga tahun dengan kadar faedah lebih rendah daripada kadar biasa.

Selain pihak bank, peminjam juga disarankan untuk berbincang dengan bank masing-masing seawal mungkin jika masih menghadapi kekangan kewangan.

Ini penting untuk memberi masa kepada peminjam membuat keputusan mengenai pelan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian, katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih daripada 21,000 peminjam sudah dibantu di bawah pelan bayaran balik pinjaman institusi kewangan berbanding hanya sekitar 14,000 peminjam bagi keseluruhan 2019.

"Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia turut memantau kemajuan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh institusi perbankan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi memastikan peminjam yang layak terus mendapat bantuan yang sewajarnya.

"Usaha membantu peminjam perlu diseimbangkan bagi memastikan institusi perbankan kekal berdaya tahan agar mampu untuk terus membiayai kegiatan ekonomi dan menyokong proses pemulihannya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X