Ahad, 26 Julai 2020 | 5:22pm
(Gambar fail - hiasan) - NSTP/IHSAN KKM
(Gambar fail - hiasan) - NSTP/IHSAN KKM

COVID-19: 2,897 pengembara belum tampil ke PKD

PUTRAJAYA: Seramai 2,897 pengembara masih belum tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), setakat kelmarin, untuk mendapat pelepasan daripada menjalani Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata justeru Kementerian Kesihatan pada peringkat ibu pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri dan PKD akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu masih belum tampil ke PKD bersama keputusan ujian COVID-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13.

"Hingga kelmarin, seramai 17,897 pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani HSO dan ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD," katanya dalam kenyataan mengenai COVID-19, hari ini.

Beliau sekali gus menggesa pengembara yang pulang ke negara ini dan menjalani HSO sebelum 24 Julai lalu supaya mematuhi sepenuhnya syarat ditetapkan.

"Syarat ditetapkan ialah duduk di rumah untuk menjalani kuarantin sepenuhnya dan mengelak daripada bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah.

"Sekiranya penjarakan sosial selamat, iaitu sekurang-kurang satu meter daripada orang lain sukar diamalkan, mereka perlu memakai pelitup muka.

"Selain itu, menggunakan aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri; gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh HSO; serta menjalani ujian COVID-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan diiktiraf Kementerian Kesihatan dan mendapatkan salinan keputusan ujian terbabit.

"Pada hari ke-14, pengembara perlu hadir ke PKD terdekat bersama laporan ujian COVID-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani HSO dan menanggalkan gelang perintah pengawasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia pulang dari luar negara dan warga asing yang masuk ke Malaysia (ekspatriat, pasangan serta tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan bermula kelmarin.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X