Ahad, 26 Julai 2020 | 1:19pm
Menteri, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) pada perasmian Perpustakaan Pei You di Kg Baru, Salak Selatan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Menteri, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) pada perasmian Perpustakaan Pei You di Kg Baru, Salak Selatan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

SOP pusat hiburan masih dalam penelitian

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bersedia untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pusat hiburan, kelab malam dan bar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, berkata ia masih dalam proses penelitian dan penyediaan.

"Pusat hiburan kita mungkin susah nak kawal jadi kita agak teliti dari segi SOP dan penguatkuasaannya.

"Sekiranya sudah siap SOP itu nanti, setiap pengusaha harus membuat permohonan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) di kawasan masing-masing untuk semakan bagi memastikan mereka mengikut SOP dengan ketat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Pei You dan Program Kesedaran Cegah Kebakaran di Kampung Baru Salak Selatan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan akan diambil terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya, yang melanggar melanggar peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Zuraida berkata, tindakan boleh diambil PBT.

Katanya, sekiranya premis itu beroperasi secara haram maka pengusaha dan pengunjung boleh dikenakan kompaun.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 310 pengunjung pusat hiburan berkenaan dikompaun selepas melanggar peraturan pelaksanaan PKPP kerana berkumpul.

Dalam serbuan jam 11 malam Jumaat, seramai 200 lelaki dan 110 wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan sebelum dikompaun atas kesalahan berkenaan.

Berita Harian X