Sabtu, 25 Julai 2020 | 1:28pm
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) meninjau dan melihat pemandangan dari jambatan kedua Tanjung Lumpur, Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) meninjau dan melihat pemandangan dari jambatan kedua Tanjung Lumpur, Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang

Jambatan RM155.8 juta atasi kesesakan trafik

KUANTAN: Projek pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur dengan kos RM155.8 juta dijangka siap sepenuhnya pada 25 September ini.

Jambatan baharu sepanjang 451 meter yang merentasi Sungai Kuantan itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di bandar ini termasuk pada hujung minggu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dengan adanya kemudahan itu juga dapat memendekkan jarak sepanjang sembilan kilometer.

Katanya, masa perjalanan hanya memerlukan antara 15 hingga 30 minit dari Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari Gambang ke Tanjung Lumpur.

"Projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu dimulakan pada 15 Ogos 2016 dan dijangka siap pada 25 September depan.

"Pada masa ini, status kemajuan projek ialah 93 peratus," katanya pada sidang media selepas meninjau dan memantau kelancaran kerja pembinaan projek berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Pelaksanaan pembinaan jabatan baharu itu sebagai laluan alternatif bagi jambatan sedia ada yang dapat mengurangkan kapasiti bebanan trafik dan meningkatkan lagi kelancaran aliran trafik di bandar Kuantan.

Sebagai tanda prihatin dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas, Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM47 juta bagi membina jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting, Jalan Kuantan-Gambang.

"Skop pembinaan jejambat ini dilaksanakan kontraktor sama dan semua proses sudah selesai dan arahan memulakan kerja dikeluarkan mulai 15 Jun lalu," katanya.

Berita Harian X