Khamis, 23 Julai 2020 | 4:04pm
Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz. - NSTP/Ihsan UMNO online
Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz. - NSTP/Ihsan UMNO online

UMNO Tanjung Malim serah senarai calon

SLIM RIVER: UMNO bahagian Tanjung Malim sudah menghantar senarai nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, berkata senarai turut diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas berbincang dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, mereka yang disenaraikan merangkumi pimpinan di peringkat bahagian termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang masing-masing mempunyai potensi tersendiri.

"UMNO bahagian menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menilai dan memilih calon paling layak mewakili BN dalam PRK DUN Slim.

"Segala keputusan dibuat berdasarkan perbincangan dan kami akur serta berjanji memberi kerjasama sepenuhnya kepada calon dipilih nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, hari ini mengumumkan penamaan calon PRK DUN Slim pada 15 Ogos, pengundian awal ditetapkan 25 Ogos dan pengundian pada 29 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengalami kesukaran bernafas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, Allahyarham mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Mohd Zaidi berkata, dalam pertemuan pengurusan kanan UMNO bahagian dengan Presiden UMNO baru-baru ini, mereka berharap pucuk pimpinan mencalonkan anak tempatan daripada pimpinan UMNO bahagian.

"DUN Slim adalah kubu kuat BN diwakili UMNO, sudah tentulah kami akan berkerja keras untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar pada PRK ini.

"Kami akan terima siapa sahaja antara kami yang terpilih menjadi calon dan berharap pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi seiring dengan keputusan kami," katanya.

Beliau berharap kepemimpinan bahagian dan cawangan serta ahli di peringkat akar umbi bersiap sedia menghadapi PRK DUN Slim dalam suasana kelaziman baharu.

Berita Harian X