Khamis, 23 Julai 2020 | 1:20pm
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA

5,000 siswazah ikuti latihan Protege RTW

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 peluang latihan disediakan menerusi program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE), bertujuan meningkatkan potensi kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata menerusi PROTÉGÉ - Ready To Work (Program RTW), 5,000 peserta sedang menjalani latihan di bawah program itu ketika ini.

Pelaksanaan Program-RTW diperluas melalui kerjasama Bank Negara dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) melalui Graduate Program 2000.

"Inisiatif ini menyasarkan seramai 2,000 graduan setahun menjalani latihan penempatan di 120 Institusi Kewangan mulai Julai ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program RTW bertujuan membantu meningkatkan potensi kebolehpasaran graduan menganggur melalui penempatan latihan selama lapan hingga 12 bulan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat penerima perolehan kerajaan di bawah arahan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan (PP/PK1.2) dan syarikat swasta lain.

Menerusi inisiatif New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-GENE) katanya, ia dilaksana dengan kerjasama CEDAR SME Bank, bertujuan meningkatkan potensi kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan secara dalam talian dan bimbingan perniagaan selama sembilan bulan.

"Program ini menyasarkan penyertaan 2,000 graduan dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA)," katanya.

Bagi inisiatif Graduate Capacity and Employability Enhancement Program (GRACE) pula, beliau berkata ia menyasarkan penyertaan 200 graduan setahun, berfokus meningkatkan kebolehpasaran melalui latihan peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional.

"Agri-Coaching and Industry Development Programme (ACID) dilaksana dengan kerjasama INSKEN, menawarkan peluang latihan keusahawanan melalui bidang pertanian bagi graduan terutama golongan B40 untuk memperoleh pendapatan serta menimba kemahiran keusahawanan melalui latihan dan bimbingan perniagaan. Tempoh pelaksanaan adalah 12 bulan," katanya.

Bagi insiatif Reach Out, Awareness and Developmental Program (ROAD), ia program kesedaran, pembudayaan dan latihan jangka pendek berkaitan ekosistem keusahawanan serta peningkatan kebolehpasaran kepada pelajar dan graduan.

"Program ini membabitkan kerjasama pelbagai pihak merangkumi IPT, ILKA, kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan serta pihak industri," katanya.

Berita Harian X