Khamis, 23 Julai 2020 | 12:33pm
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom (kiri) bersama Pegawai Daerah dan Tanah Mualim, Shamsul Ridzuan Idris melihat peta daerah Mualim ketika sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN N58 Slim, Perak di ibu pejabat SPR hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom (kiri) bersama Pegawai Daerah dan Tanah Mualim, Shamsul Ridzuan Idris melihat peta daerah Mualim ketika sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK DUN N58 Slim, Perak di ibu pejabat SPR hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PRK DUN Slim 29 Ogos, penamaan calon 15 Ogos

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN) pada 15 Julai lalu.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata 15 Ogos pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 25 Ogos tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 28 Ogos nanti.

"Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tutup permohonan adalah pada 23 Julai dan 13 Ogos 2020.

"Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris, dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN N58 Slim, Perak.

"Beliau akan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus," katanya dalam sidang media khas, di sini, hari ini.

SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Azmi berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menasihati bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK N58 untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Perak sebelum hari penamaan calon.

Bakal calon juga dicadangkan membuat pembayaran deposit secara atas talian lebih awal, bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan lancar.

"Bagaimanapun, diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadang pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan SPR.

"SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi FB Live di Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada PRK sebelum ini. SPR juga akan menyiarkan kepada umum keputusan tidak rasmi PRK yang tertakluk kepada pengesahan melalui laman media sosial SPR, portal SPR dan juga paparan skrin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi," katanya.

Seramai 689 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK itu manakala 13 pusat mengundi dengan 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6 juta.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan Khusairi meninggal dunia di Hospital Bentong akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.

Khusairi menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Mohd Amran Ibrahim dan PAS, Zulfadli Zainal, dengan majoriti 2,183 undi.

Berita Harian X