Selasa, 21 Julai 2020 | 12:33pm

COVID-19: Lebih 160,000 penerbangan dibatalkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 169,728 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan sejak Januari hingga Jun tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pembatalan membabitkan tiga syarikat penerbangan tempatan itu menyebabkan 4.316 juta pengguna terkesan, selain syarikat berdepan masalah kewangan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 114,693 membabitkan pembatalan penerbangan domestik manakala 55,035 adalah penerbangan antarabangsa.

"Bagi syarikat Malaysia Airlines, sejumlah 32,790 penerbangan domestik dibatalkan, manakala 12,890 penerbangan antarabangsa dengan jumlah keseluruhan 45,680 penerbangan.

"Bagi Air Asia, sebanyak 71,980 penerbangan domestik dibatalkan manakala 34,963 membabitkan penerbangan antarabangsa dan jumlah keseluruhan 106,943 penerbangan," katanya menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong berkata, sebanyak 17,105 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan membabitkan syarikat Malindo.

Menjawab soalan asal Lukanisman, Ka Siong berkata, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa kira-kira 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak COVID-19.

Berdasarkan analisis, katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan harga tiket penerbangan kembali normal kepada harga purata pada 2019 menjelang November ini, selepas syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi pandemik COVID-19.

"Kementerian sudah mengarahkan MAVCOM melaksanakan pemantauan pengenaan kadar tambang yang dikenakan syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus bagi memastikan harga tambang yang dikenakan adalah kompetitif," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah meminta syarikat penerbangan mempertimbangkan pengurangan kadar tambang untuk menawarkan pakej tertentu kepada golongan pelajar universiti awam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Semua penerbangan keluar dari Malaysia di KLIA dibatalkan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
    Semua penerbangan keluar dari Malaysia di KLIA dibatalkan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
    Berita Harian X