Isnin, 20 Julai 2020 | 7:19pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

2022 sasaran transformasi koperasi selesai

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan sistem koperasi di negara ini berupaya dibaik pulih menerusi rangkaian usaha transformasi yang dijangka selesai dilaksanakan menjelang 2022.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pihaknya sedang membuat kajian untuk meminda perundangan berkaitan koperasi sebagai langkah asas untuk memajukan sektor berkenaan.

"Pindaan akan dibawa sidang kali ini untuk pertimbangan majlis dan sekiranya diluluskan, ia akan beri nafas baharu kepada koperasi, termasuk memudahkan lagi aspek penubuhan, pelaksanaan dan pentadbiran koperasi.

"Untuk transformasi lebih 14,000 koperasi membabitkan kira-kira 9.09 juta ahli di seluruh negara, kita jangkakan semua sistem koperasi ini berupaya dibaik pulih dalam jangka dua tahun," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung usaha kerajaan untuk memudah cara urus tadbir, selain menghapuskan pelbagai kerenah birokrasi dalam sistem koperasi bagi memacu sektor berkenaan.

Wan Junaidi pada 25 Jun lalu dilaporkan berkata pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) akan diberikan keutamaan untuk dibentang pada sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung sehingga 27 Ogos ini.

Sekiranya diluluskan, pembangunan koperasi bakal menyaksikan perkembangan pesat kerana pindaan Akta 502 antara lain memperuntukkan penghapusan pelbagai sekatan dan kerenah birokrasi yang merencatkan usaha pembangunan industri koperasi negara.

Berita Harian X