Isnin, 20 Julai 2020 | 5:46pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO BERNAMA

COVID-19: Satu lagi kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu COVID-19 dikesan, kali ini membabitkan pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes pertama bagi kluster berkenaan adalah kes kematian ke-123 yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, sehingga tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati daripada 39 individu yang disaring, seramai 14 kes positif COVID-19 dikesan dalam kluster berkenaan.

"Susulan kematian itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan.

"Sehingga 20 Julai jam 12 tengah hari, 39 orang sudah disaring, terdiri daripada 14 kes positif COVID-19; 18 adalah negatif; dan tujuh individu masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan yang disahkan positif COVID-19, 13 adalah rakyat Malaysia manakala seorang lagi adalah warga Indonesia.

Katanya, mereka terdiri daripada 11 warga emas yang juga penghuni rumah jagaan terbabit, seorang pekerja dan seorang ahli keluarga.

Beliau berkata, langkah pembendungan dan kawalan jangkitan sudah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan itu manakala punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

Semalam, media melaporkan satu kematian membabitkan jangkitan COVID-19 dicatatkan menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 123.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, mangsa yang berusia 72 tahun itu adalah warga Malaysia yang juga penghuni di sebuah pusat jagaan warga emas berkenaan.

Beliau berkata, mangsa mulai mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai lalu selain mempunyai penyakit darah tinggi kronik dan penyakit strok.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X