Isnin, 20 Julai 2020 | 2:05pm
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA

Amaran KP Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman memberi amaran tindakan tegas dan serius akan diambil terhadap pegawai kerajaan yang didapati melakukan salah laku atau kecuaian.

Tindakan tegas itu, katanya, bukan setakat amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan dibuang kerja seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, tetapi juga boleh dikenakan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Merujuk teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang berpendapat ada hukuman dikenakan jabatan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang cuai, tidak cekap dan tidak akur sebagai terlalu lembut dan ringan, beliau berkata, teguran itu dipandang serius oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mohd Khairul Adib mengingatkan setiap ketua jabatan supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dilakukan penjawat awam berdasarkan peraturan sedia ada serta merit kesalahan yang dilakukan.

"Ketua jabatan harus memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas dan segera terhadap penjawat awam apabila terdapat teguran dan ketidakakuran di agensi masing-masing seperti dilaporkan pihak audit.

"Ini penting kerana kerajaan amat memandang serius isu ketirisan hasil negara, termasuk disebabkan oleh kesalahan atau kecuaian dilakukan penjawat awam, selain komited untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti dan proaktif," katanya kepada BH.

Pada 14 Julai lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada sidang media mengenai LKAN Tahun 2018 Siri 3, dilaporkan berkata, pihaknya berpendapat ada antara hukuman yang dikenakan terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan, sepatutnya lebih keras.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan jabatan terbabit kerana ia mungkin berlaku selepas Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada peringkat yang menyiasat, mengambil kira pelbagai faktor penentuan hukuman.

"Cuma kadang-kadang ada kita berasakan bahawa jabatan agak berlembut yang mana hukuman agak ringan tetapi Jabatan Audit Negara tidak boleh campur tangan kerana kita pun buat audit, menemukan ketidakpatuhan sahaja," kata Nik Azman seperti dipetik media.

Mohd Khairul Adib menjelaskan, dalam mengambil tindakan, setiap ketua jabatan perlu mematuhi tatacara pengurusan tatatertib selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 termasuk bagi kes tindakan susulan LKAN.

Katanya, tindakan hendaklah berdasarkan tujuh jenis hukuman tatatertib seperti termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, iaitu amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan dibuang kerja.

"Pegawai boleh dikenakan tindakan tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan hingga 48 bulan. Bagi tindakan buang kerja, ia bukan setakat salah laku dalam aspek kewangan atau salah guna kuasa, tetapi juga isu disiplin seperti tidak hadir bertugas," katanya.

Mohd Khairul Adib juga mahu unit audit dalaman pada peringkat kementerian dan jabatan memainkan peranan memberi teguran tegas terhadap sebarang ketidakakuran prosedur ketika proses pengurusan kewangan, pembangunan dan perolehan.

"Amat penting untuk unit audit dalaman memantau dan menangani sebarang salah laku pada peringkat awal membabitkan pelaksanaan sesuatu aktiviti dan projek sebelum perkara itu menjadi lebih serius.

"Selepas itu, ketua jabatan di setiap kementerian atau agensi hendaklah mengambil tindakan tegas dan segera terhadap teguran serta ketidakakuran yang dilaporkan oleh pihak audit dalaman," katanya.

Beliau menegaskan, penjawat awam yang terbabit dengan salah laku dan dikenakan hukuman tatatertib hanya sebahagian kecil iaitu 0.02 peratus atau 255 pegawai daripada jumlah keseluruhan yang ada.

Bagaimanapun, katanya, JPA tidak memandang mereka yang dikenakan hukuman tatatertib dari sudut angka kerana kesalahan yang dilakukan, wajib ditangani dengan tindakan sewajarnya.

"Setiap teguran LKAN dipandang serius dan diambil tindakan susulan sewajarnya dengan usaha penambahbaikan secara berterusan juga dilakukan untuk mengelak teguran berulang pada masa hadapan," katanya.

JPA, katanya, bertanggungjawab menggubal dasar dan peraturan tatatertib bagi perkhidmatan awam yang ditambahbaik dari semasa ke semasa, namun jenis hukuman sedia ada setakat ini dilihat memadai.

Beliau menjelaskan, bagi setiap teguran punitif iaitu membabitkan kes penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, salah laku dan kecuaian, JPA akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi memperoleh keterangan dari aspek kesaksian dan pembabitan pegawai awam dalam kes dilaporkan.

Katanya, sekiranya wujud asas kukuh bahawa pegawai terbabit melakukan salah laku atau cuai, tindakan tatatertib akan diambil mengikut budi bicara pihak berkuasa tatatertib berdasarkan merit kes atau boleh dikenakan pertuduhan jenayah di mahkamah.

"Bagi pegawai yang disyorkan jawatankuasa siasatan untuk dimulakan prosiding tatatertib, kes akan dikemukakan kepada pihak berkuasa tatatertib jabatan masing-masing. Setiap pegawai diberi peluang membela diri dan diadili berdasarkan merit kes.

"JPA menghormati budi bicara pihak berkuasa tatatertib dalam menentukan hukuman tatatertib ke atas pegawai terbabit. Ingin ditegaskan, hukuman tatatertib boleh menjejaskan kemajuan kerjaya pegawai di samping memberi kesan terhadap gaji dan faedah lain.

"Pegawai juga masih boleh disabitkan kesalahan sivil atau jenayah di mahkamah bagi kes penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku dan kecuaian," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, JPA sudah menyediakan garis panduan dari segi pelaksanaan prosedur dan peraturan penentuan bentuk hukuman, namun pelaksanaannya secara khusus bergantung kepada kesesuaian merit kes pada peringkat pihak berkuasa tatatertib jabatan masing-masing.

Mengenai langkah meningkatkan kecekapan dan integriti penjawat awam, beliau berkata, antara inisiatif diambil ialah pemantapan program pembangunan kompetensi dan nilai integriti, pusingan kerja tiga hingga lima tahun pegawai menjawat jawatan sensitif serta Ikrar Bebas Rasuah.

Info 7 tindakan tatatertib

• Amaran (tidak layak dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan)

• Denda (tidak layak dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan)

• Lucut hak emolumen (tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan)

• Tangguh pergerakan gaji (tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan)

• Turun gaji (tidak layak dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 36 bulan)

• Turun pangkat (tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 48 bulan)

• Buang kerja

Berita Harian X