Isnin, 20 Julai 2020 | 9:47am
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. - Foto fail NSTP
Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. - Foto fail NSTP

Seksyen 17A ASPRM 2009 untuk bendung rasuah pasca PKP

PUTRAJAYA: Pandemik COVID-19 yang menular hampir seantero dunia pada masa ini memberi impak sangat besar dengan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression tahun 1930an.

Malaysia seperti mana negara lain yang tidak terkecuali diserang wabak pembawa virus maut itu turut berhadapan cabaran getir.

Sektor perniagaan negara pada masa ini bergelut dengan kemelut aliran tunai seperti permasalahan pembayaran gaji pekerja serta daya survival berikutan penutupan hampir sebahagian besar sektor ekonomi negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat ketika negara beralih kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan kini dalam fasa PKP Pemulihan (PKPP) yang membenarkan hampir kesemua industri berfungsi, menyaksikan organisasi komersial semakin komited untuk bangkit memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Di sebalik perkembangan positif ke arah pemulihan ekonomi negara, timbul kebimbangan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlaku kecenderungan organisasi komersial terbabit dengan rasuah ketika berlumba-lumba mencari keuntungan buat perniagaan mereka.

"Memanglah kita bimbang. Keadaan ini memberi peluang dan ruang kepada mereka dalam dunia perniagaan untuk terbabit dengan rasuah kerana ketika krisis masing-masing kesempitan, kekurangan dana dan simpanan.

"Jadi, apabila keadaan kembali normal, mereka akan berusaha mendapatkan keuntungan secepat mungkin walaupun membabitkan rasuah," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil ketika menjawab soalan Bernama pada sidang media untuk menerangkan mengenai Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) di Putrajaya baru-baru ini.

LANGKAH TEPAT

Kebimbangan ini berasas memandangkan satu kajian yang dijalankan oleh University of the West of England pada 2013, mendapati jumlah rasuah dalam kalangan organisasi komersial berlaku pada skala amat besar ketika krisis ekonomi kerana masing-masing mahu memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Dari sudut pandangan Malaysia pula, kajian 'KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013, menyatakan 80 peratus responden merasakan insiden berhubung suapan dan rasuah dalam sektor korporat meningkat sejak tahun 2010.

Sembilan puluh peratus daripada responden mempercayai insiden penipuan korporat, merujuk kepada suapan dan rasuah, adalah masalah utama bagi sektor perniagaan di Malaysia.

Kajian ini bukanlah sekadar pergantungan kepada 'persepsi', namun diperkukuhkan dengan statistik dikeluarkan oleh SPRM berhubung jumlah kes rasuah yang membabitkan organisasi komersial bagi tahun 2014 sehingga 2018 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,517 kes, kertas siasatan (900 kes) dan tangkapan (782 kes).

Ini menunjukkan polemik permasalahan rasuah dalam sektor perniagaan di Malaysia sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19 sudah berada pada tahap membimbangkan dan wajarlah SPRM berasa khuatir berlakunya peningkatan rasuah sepanjang fasa pemulihan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Shamshun Baharin berkata pelaksanaan Seksyen 17A ASPRM 2009 yang berkuat kuasa 1 Jun tahun ini adalah sangat bertepatan pada masanya ketika negara sedang membuka semula pintu ekonomi yang terjejas akibat krisis COVID-19.

"Umum mengetahui bahawa sektor komersial mempunyai risiko yang tinggi terbabit dalam aktiviti rasuah, terutamanya membabitkan isu tender projek atau kontrak sehingga mencecah nilai berjuta-juta ringgit. (Justeru) dengan pelaksanaan Seksyen 17A ASPRM 2009, saya berharap kes rasuah terutamanya dalam sektor komersial dapat dikurangkan dan diatasi secara menyeluruh.

"Ini memandangkan, undang-undang baharu ini adalah alat kepada organisasi komersial supaya tidak terbabit dengan rasuah ketika berlumba-lumba mencari keuntungan pada pasca PKP," katanya.

Peruntukan undang-undang baharu ini yang juga dikenali sebagai 'liabiliti korporat' menetapkan kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 dilakukan oleh organisasi komersial apabila seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial tersebut secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menjanjikan atau menawarkan apa-apa suapan dengan tujuan untuk memperoleh atau mengekalkan apa-apa perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau untuk memperoleh apa-apa faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.

NATURAL PERSON

Sebelum wujud peruntukan ini, AKTA SPRM 2009 lebih tertumpu kepada pendakwaan atas natural person iaitu individu yang terbabit secara langsung dengan aktiviti rasuah sahaja.

Ini bermakna, pihak pengurusan tertinggi seperti Pengurus Besar, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya 'terlepas' daripada kesalahan itu biarpun pada hakikatnya mereka turut sama terbbait secara tidak langsung untuk mendapatkan sebarang kontrak atau tender untuk organisasi komersial berkenaan.

Dalam konteks ini, boleh diklasifikasikan individu itu adalah merupakan 'kambing hitam' bagi syarikat berkenaan untuk mendapatkan faedah berkenaan.

"Realitinya, berdasarkan siasatan SPRM, dalam konteks organisasi komersial, mendapati individu berkenaan memberi rasuah untuk mendapatkan projek atau faedah tertentu kepada syarikat mereka. Malah, dalam banyak keadaan, bukan sahaja perbuatan itu membabitkan pengurusan tertinggi syarikat malahan mendapat restu daripada pengurusan tertinggi syarikat.

"Disebabkan itulah, Seksyen 17A ASPRM 2009 digubal bagi membolehkan syarikat yang menjalankan kegiatan rasuah dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang," jelasnya.

Menurut Shamshun Baharin, peruntukan undang-undang baharu ini adalah untuk melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26 United Nation Convention Against Corruption (UNAC) yang merujuk kepada 'Liability Of Legal Person'.

Pada 5 April 2018, Parlimen meluluskan pindaan Akta SPRM 2009 bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di Malaysia terutamanya dalam dunia perniagaan. Peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A ASPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.

INTEGRITI TANPA RASUAH

Menjelaskan mengenai terma organisasi komersial dalam akta berkenaan, Shamshun Baharin berkata definisi berkaitan dengannya adalah;

  • suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain;
  • suatu syarikat di mana jua diperbadankan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia;
  • suatu perkongsian – (i) di bawah Akta Perkongsian 1961 [Akta 135] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain; atau (ii) yang merupakan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 [Akta 743] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain;
  • suatu perkongsian di mana jua ditubuhkan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia.
  • Semasa penggubalan peruntukan ini, SPRM telah merujuk kepada pelbagai sumber perundangan sama ada domestik atau luar negara dan peruntukan khusus yang dirujuk adalah Seksyen 7 The UK Bribery Act 2010 (UKBA 2010) dan Foreign Corrupt Practices Act 1977 (FCPA 1977).

    "Sebenarnya, spirit of this law is preventive. Maksudnya, ia lebih untuk prevent the company dari melakukan atau terlibat dengan rasuah. Jadi, kita dapat mewujudkan organisasi komersial negara menjalani budaya baharu yang lebih bersih, jujur serta memastikan warga mereka tidak menggunakan rasuah untuk mendapatkan keuntungan.

    "Saya percaya dengan pengurangan kes rasuah dalam sektor komersial, ekonomi negara dapat ditingkatkan dengan kemasukan pelabur asing dan kekurangan isu ketirisan, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan negara bersih daripada gejala rasuah.

    "Mungkin masih ada yang tidak jelas mengenai akta itu disebabkan seksyen ini baharu dilaksanakan awal bulan lalu. Namun, ia bukanlah alasan kerana SPRM telah memberikan tempoh grace period selama dua tahun kepada organisasi komersial sebagai langkah persediaan sewajarnya," katanya.

    Jika sesebuah organisasi komersial disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009, hukuman di bawah Seksyen 17A (2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

    TATACARA MENCUKUPI

    Sebelum ini, ada segelintir pihak meminta pelaksanaan Seksyen 17A ASPRM 2009 ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

    Namun, menurut Shamshun Baharin, kerajaan komited dengan pendirian untuk meneruskan pelaksanaannya pada 1 Jun lepas dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik dalam pengurusan organisasi komersial.

    Bagaimanapun, organisasi komersial boleh membela diri sekiranya dapat menunjukkan bahawa organisasi tersebut mempunyai 'tatacara mencukupi' yang dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau aktiviti perniagaan mereka.

    Menjelaskan mengenai 'tatacara mencukupi', Shamshun Baharin berkata ia merujuk kepada pembangunan serta penggunaan instrumen dan kaedah bersesuaian mewujudkan polisi pencegahan rasuah dalam sesebuah organisasi komersial ke arah pembudayaan tadbir urus yang baik dan berintegriti.

    "Sebenarnya, ada tiga entiti yang diiktiraf kerajaan untuk syarikat mendapatkan nasihat berkaitan penyediaan tatacara mencukupi di organisasi komersial mereka.

    "Selain SPRM, dua lagi yang layak adalah Institut Integriti Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Apa-apapun, tatacara mencukupi yang disediakan oleh GIACC yang menetapkan lima prinsip asas dikenali sebagai T.R.U.S.T. sebagai usaha mencegah rasuah dalam syarikat tersebut boleh dijadikan rujukan.

    "Biarpun begitu, SPRM bersedia untuk membantu mana-mana syarikat dalam menyediakan Garis Panduan Tatacara Mencukupi," katanya.

    Beliau menambah, selain mewujudkan sendiri polisi pencegahan rasuah di syarikat masing-masing, mereka juga boleh mendapatkan pensijilan seperti MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System daripada badan pensijilan sedia ada negara ini ataupun Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang dikendalikan SPRM bagi mengurangkan risiko amalan rasuah di organisasi komersial. – BERNAMA

    Berita Harian X