Ahad, 19 Julai 2020 | 7:56am
Prinsip Rukun Negara dipaparkan di Stesen MRT Merdeka. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Prinsip Rukun Negara dipaparkan di Stesen MRT Merdeka. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Rukun Negara bukan sekadar di kulit belakang buku - KSU KPM

PUTRAJAYA: Penerimaan dan pemahaman rakyat mengenai Rukun Negara yang disemai sejak 50 tahun lalu, sudah menjadi sebahagian daripada kompas yang memberi panduan kepada perjalanan kehidupan rakyat di negara ini.

Sama ada sedar atau tidak, kelima-lima prinsip yang menjadi falsafah kebangsaan itu sebenarnya sudah diamalkan oleh majoriti rakyat, yang membantu negara mencapai keamanan dan keharmonian, seperti yang dihasratkan ketika Rukun Negara dibentuk pada 31 Ogos 1970.

Bertitik-tolak kepada hasrat besar itu, sekolah dan institusi pendidikan, menjadi medium paling penting dalam mendidik dan menyemai pemahaman serta penghayatan rakyat, terhadap prinsip Rukun Negara yang sepatutnya harus dimulakan sejak di peringkat prasekolah.

Namun, banyak pihak memberi pandangan bahawa penerapan Rukun Negara di sekolah masih kurang, menyebabkan penghayatan terutama dalam kalangan generasi muda tidak membugar.

Ini juga ditekankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan Sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 pada 9 Julai lalu, yang mahukan pendidikan Rukun Negara menjadi agenda teras kerajaan, bagi memastikan falsafah negara itu terus menjadi amalan untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Hakikatnya, pelbagai usaha sudah dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM), dalam usaha menanamkan pemahaman dan penghayatan kepada murid dan pelajar di sekolah, di sebalik falsafah Rukun Negara.

Tidak sekadar diletakkan di halaman kulit belakang buku latihan sekolah, tetapi ia turut diterapkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sepanjang masa, tegas Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Malah, usaha memantapkan Rukun Negara dikembangkan melalui Kelab Rukun Negara, yang menjadi antara komponen dalam kokurikulum di sekolah dengan 6,621 sekolah rendah dan menengah, telah menubuhkannya di seluruh negara.

"Kelab Rukun Negara dilaksanakan di semua sekolah, untuk melihat kepada pembangunan karakter, dalam usaha menyemai penghayatan Rukun Negara dalam kalangan murid dan pelajar sekolah," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya sempena ulang tahun Rukun Negara ke-50, di sini baru-baru ini.

Menyifatkan pemahaman dan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan murid sekolah masih tinggi, beliau berkata, falsafah kebangsaan itu dijadikan asas bagi kementerian, dalam mendidik golongan pelajar memahami dan mengamalkan konsep perpaduan, dalam kehidupan.

Katanya, inti pati perpaduan yang menjadi asas kepada Rukun Negara, diterjemahkan dalam bentuk pengajaran di sekolah, untuk diterapkan dalam setiap pembelajaran.

Mengambil contoh prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, beliau berkata sekolah digalakkan untuk menyambut atau meraikan pelbagai perayaan di negara ini.

"Itu kita terapkan dalam konteks Kepercayaan Kepada Tuhan, maknanya menghormati setiap bangsa dan agama, manakala Kesetiaan Kepada Raja dan Negara ini memang ada dalam silibus dan kokurikulum kita, yang menerangkan secara terperinci konsep Raja Berperlembagaan.

"Kita memang cuba terapkan nilai-nilai Rukun Negara ini bermula daripada prasekolah sehingga ke Tingkatan Enam. Contohnya, modul pendidikan sivik prasekolah, dengan memberikan penekanan kepada literasi dan amali sivik," katanya dan menambah, ini diharap dapat mendidik murid untuk berfikir dan beretika dalam hidup, dengan semangat perpaduan.

Bagi mata pelajaran sejarah Tahun Lima pula, beliau berkata, ia mendedahkan murid kepada kedaulatan serta identiti negara dan berkenaan Yang di-Pertuan Agong sebagai 'Payung Negara'.

Yusran Shah yang baharu menyertai KPM pada 1 Julai lalu, menyatakan, elemen Rukun Negara diajar secara tidak langsung melalui mata pelajaran sejarah, yang merupakan sebahagian pendekatan digunakan oleh sekolah-sekolah di bawah KPM.

Beliau menegaskan usaha menanamkan penghayatan terhadap Rukun Negara, tidak boleh diletakkan kepada sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta, bagi memastikan aspirasi falsafah kebangsaan itu sentiasa tersemat dan diamalkan setiap masyarakat.

Namun, antara perkara yang dibimbangi beliau berkata, penghayatan murid terhadap Rukun Negara sejurus mereka meninggalkan alam persekolahan.

"Saya rasa pemahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara ini dalam kalangan murid di sekolah tinggi, tetapi yang jadi isunya bukan setakat di sekolah, apabila dia keluar daripada alam persekolahan menuju ke alam pekerjaan, kerana mereka dipengaruhi juga oleh faktor persekitaran," katanya.

Bagi menyemarakkan sambutan jubli emas Rukun Negara Yusran Shah berkata, pelbagai program dirancang antaranya pertandingan melukis poster, video pendek, menulis esei, pengucapan awam dan membuat mural, yang mana semuanya berkaitan dengan elemen Rukun Negara.

Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-13 susulan peristiwa 13 Mei 1969. Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bermula pada 9 Julai dan akan berlangsung sehingga 16 September depan. – BERNAMA

Berita Harian X