Jumaat, 17 Julai 2020 | 5:49pm

Tarikh penting PRK Slim ditentukan 23 Julai

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Penentuan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar jangka kerusi N. 58 Slim, hari ini.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, ketika mengumumkan perkara itu berkata ia selari Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, iaitu sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh yang dipastikan SPR ketika kekosongan berkenaan berlaku.

"SPR mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib atas kembalinya ke rahmahtullah pada 15 Julai lalu.

"Semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, pada jam 4.15 petang, Rabu lalu kerana serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Mohd Khusairi dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004 lalu.

Pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Ikmalrudin berkata, perbincangan pada 23 Julai antara lain mencakupi penentuan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan PRK terbabit.

"Mesyuarat khas ini akan dipengerusikan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom. Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat," katanya.

Berita Harian X