Khamis, 16 Julai 2020 | 6:10pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: KKM cadang pengembara kuarantin wajib di hotel, pusat tertentu

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menempatkan pengembara di hotel atau pusat tertentu untuk kuarantin wajib seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu dicadangkan terhadap pengembara yang tidak mempunyai persekitaran kondusif untuk menjalani kuarantin di rumah serta individu pulang dari negara berisiko tinggi COVID-19.

Katanya, perkara berkenaan dilihat munasabah bagi mengelakkan kejadian seperti Kluster Pesakit Bawah Pemantauan (PUI) Novgorod, daripada berulang.

Selain itu walaupun dasar kerajaan membenarkan pengembara pulang ke negara ini menjalani kuarantin wajib di rumah, beliau berkata, tetap penting untuk individu berkenaan melalui ujian saringan COVID-19 sekurang-kurang tiga hari sebelum tarikh penerbangan ke Malaysia.

"Saringan di lapangan terbang setibanya rakyat Malaysia di tanah air, akan dilaksanakan sekali lagi jika ujian pertama di luar negara adalah melebihi tiga hari.

"Dasar sekarang ialah mereka (pengembara) disaring tiga hari sebelum berlepas pulang ke negara kerana sekurang-kurang kita akan mendapat keputusan sama ada mereka positif atau tidak sebelum menaiki pesawat.

"Sekiranya tidak, nanti kita perlu melakukan saringan terhadap seluruh penumpang pesawat.

"Justeru bagi yang pulang dari negara berisiko tinggi, kita melihat jika ujian dibuat melebihi tiga hari sebelum pulang, saringan akan dilakukan sebaik saja mereka tiba di lapangan terbang," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X