Khamis, 16 Julai 2020 | 3:22pm
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin (kiri) dan Tan Sri Noh Omar.
PENGERUSI Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin (kiri) dan Tan Sri Noh Omar.

Hazimah serah tugas Pengerusi PUNB kepada Noh Omar esok

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin akan menyerahkan tugasnya secara rasmi kepada Tan Sri Noh Omar dalam satu majlis, esok.

Bernama difahamkan, majlis berkenaan juga adalah bersempena sambutan ulang tahun PUNB yang ke-29.

Hazimah menyandang jawatan itu sejak 24 September 2018, manakala Noh sebelum ini adalah Pengerusi Lembaga Pengarah MISC Bhd dan melepaskan jawatan itu pada 17 Jun lalu.

Noh antara lainnya akan meneruskan agenda PUNB yang berperanan membangunkan usahawan Bumiputera serta menyediakan pembiayaan untuk mereka yang berhasrat mengembangkan perniagaan.

Ia juga bermatlamat untuk meningkatkan penyertaan dan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan dan melahirkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang dinamik, berdaya tahan, progresif serta berjaya.

PUNB yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965 adalah milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputera dan beroperasi sebagai sebuah syarikat patuh Syariah sepenuhnya pada 2010.

Sejak 2019, PUNB telah disenaraikan sebagai syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri. – BERNAMA

Berita Harian X