Khamis, 16 Julai 2020 | 12:21pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bertanya khabar kepada Datin Jamilah Nordin (kiri), yang juga isteri ADUN Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib di Masjid Al Rahmaniah Felda Sungai Behrang hari ini. - Foto BERNAMA

Tak sempat serah surat lantikan - MB Perak

SLIM RIVER: "Saya tidak sempat hendak menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi Lumut Maritime Terminal kepada Allahyarham (Mohd Khusairi)," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, surat lantikan yang sudahpun ditandatangani pagi semalam itu sepatutnya akan diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

"Saya sudah menandatangani surat lantikan, tetapi saya tidak sempat menyerahkan surat ini (lantikan) kepada Allahyarham," katanya ketika ditemui pemberita ketika solat jenazah Allahyarham di Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Sungai Behrang di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah di kediaman Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Jenazah Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib disolatkan di Masjid Ar-Rahmaniah Felda Sungai Behrang, Tanjung Malim yang diimamkan anak sulung arwah, Mohd Amirul Khalil. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Jenazah Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib disolatkan di Masjid Ar-Rahmaniah Felda Sungai Behrang, Tanjung Malim yang diimamkan anak sulung arwah, Mohd Amirul Khalil. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Jenazah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, di sini jam 9.20 pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Ar-Rahmaniah Felda Sungai Behrang yang diimamkan anak sulung arwah, Mohd Amirul Khalil, 30 pada 8.30 pagi.

Antara yang hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Sementara itu, Saarani berkata, kepimpinan UMNO Perak sudah bersiap siaga sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dan pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu.

Katanya, selepas ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memaklumkan kepada SPR yang akan memutuskan sama ada PRK akan diadakan atau sebaliknya.

Berita Harian X