Khamis, 16 Julai 2020 | 10:54am

Jenazah ADUN Slim dikebumikan

SLIM RIVER: Jenazah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Behrang, di sini jam 9.20 pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Ar- Rahmaniah FELDA Sungai Behrang yang dimamkan oleh anak sulung arwah, Mohd Amirul Khalil Mohd Khusairi, 30, pada jam 8.30 pagi.

Lebih 1,000 orang ramai termasuk pemimpin tertinggi dan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) hadir.

Antara yang hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Bentong, Pahang ke rumah ibunya, di FELDA Sungai Behrang, Slim River malam tadi.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong, pada jam 4.15 petang semalam kerana serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Datin Jamilah Nordin, isteri kepada Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyiram air dipusara di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang. - Foto Sharul Hafiz Zaman
Datin Jamilah Nordin, isteri kepada Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib menyiram air dipusara di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang. - Foto Sharul Hafiz Zaman

Mohd Khusairi dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS.

Sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham sebagai ADUN selama empat penggal, beliau diberi kepercayaan dilantik menganggotai Jawatankuasa Penggalan Dewan Negeri Perak.

Allahyarhan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2015.

Jenazah ADUN Slim, Mohd Khusairi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Behrang, di sini pagi ini. - Foto pembaca
Jenazah ADUN Slim, Mohd Khusairi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Behrang, di sini pagi ini. - Foto pembaca
Berita Harian X