Khamis, 16 Julai 2020 | 7:36am
JENAZAH Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib tiba di kediaman ibunya di FELDA Sungai Behrang, malam tadi. - NSTP/Rosman Shamsudin
JENAZAH Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib tiba di kediaman ibunya di FELDA Sungai Behrang, malam tadi. - NSTP/Rosman Shamsudin

Jenazah Allahyarham Mohd Khusairi tiba di kampungnya

BEHRANG: Jenazah Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang, petang tadi tiba di rumah ibunya di FELDA Sungai Behrang, kira-kira jam 11.35 malam tadi.

Ketibaan jenazah disambut kira-kira 200 ahli keluarga, penduduk dan rakan dalam suasana sedih kerana masing-masing masih lagi terkejut dengan pemergian arwah yang amat disenangi penduduk di Tanjung Malim.

Turut kelihatan, Naib Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Sheikh Hussein Maidin dan Pengarah Urusan KY Group, Datuk Kassim Yaacob.

Kassim berkata, beliau menerima berita pemergian arwah kira-kira 4.30 petang daripada rakannya.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa arwah pada minggu lalu di salah sebuah restoran di Bandar Behrang 2020.

"Ketika berjumpa tidak menunjukkan apa-apa perubahan dan saya tidak menyangka Allahyarham pergi selama-lamanya.

"Pemergian arwah satu kehilangan besar buat penduduk di Tanjung Malim," katanya selepas mengiringi arwah dari Bentong ke FELDA Sungai Behrang.

Sementara itu, Pengerusi sementara Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung Kuala Slim, Shukeri Radzi Md Said, 50, berkata kali terakhir berjumpa arwah, semalam di Pejabat ADUN Slim, di Slim River.

Katanya, perjumpaan itu arwah ingin menyerahkan seekor lembu untuk dijadikan korban untuk Aidiladha nanti.

"Arwah juga menyelesaikan urusan tapak perumahan generasi kedua kampung dengan segera untuk penduduk kampung membina rumah.

"Ketika berjumpa arwah mengadu sakit dada dan maklumkan akan pergi ke Kuala Lumpur untuk buat pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui dekat FELDA Sungai Behrang.

Katanya, beliau mendapat tahu berita pemergian arwah kira-kira jam 4.30 petang melalui pegawai khas ADUN Slim.

"Saya terkejut apabila menerima berita pemergian arwah kerana beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat yang banyak berjasa di kawasan Slim," katanya.

Berita Harian X