X
Rabu, 15 Julai 2020 | 6:53pm
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said pada persidangan Dewan Rakyat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said pada persidangan Dewan Rakyat. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ketegasan Azalina berjaya kawal suhu 'panas' dewan

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said ternyata berjaya mengawal suhu 'panas' dewan.

Ketegasan Azalina mula terserlah ketika beliau mengarahkan RSN Rayer (DAP-Jelutong) duduk dan tidak mengganggu giliran Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ketika itu sedang membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"'Sit down Jetulong. How am i going to speak when you speak at the same time?' (Duduk Jelutong. Bagaimana saya mahu bercakap jika kamu bercakap pada masa sama)," katanya.

Beliau juga membidas Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang mengatakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak faham keperluan agihan masa yang adil untuk pembahas pembangkang dan kerajaan.

"Terima kasih kerana nak mengajar saya, tapi saya rasa, saya lagi lama (menjadi Ahli Parlimen) daripada Kulai. Arahan yang saya dapat 20 minit (untuk perbahasan), nanti saya tanya semula YDP (speaker)," katanya.

Ketika Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pula mengambil giliran perbahasan, dewan kembali kecoh selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) menyebut 'berperangai buruk' merujuk kepada pencelahan Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam).

Khalid kemudian bangun membacakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain, menyebabkan Azalina terpaksa campur tangan menghentikan ketegangan dari berterusan.

"Saya minta semua sabar dulu, nanti kita akan tengok macam mana nak selesaikannya. Sebab sangkaan buruk ini macam-macam dengar. Speaker akan bermesyuarat dan kita akan bincang soal ini. Saya faham, kalau semua nak pergi kepada 'point' sangkaan jahat dalam Peraturan Mesyuarat, yang mana-mana (Ahli Parlimen) nak berbahas nanti takkan selesai.

"Apa akan jadi pada esok, minggu depan dari 20 minit (masa perbahasan), jadi 10 minit, lima minit. Nanti kata kita tak demokrasi," Semua orang tengah sensitif, jadi saya nak minta, tolonglah..," katanya.

Ketika Guan Eng membangkitkan pula isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azalina pantas menegur dan memberikan alasan bahawa ia adalah subjudis.

"Kes mahkamah di bawah subjudis. Maknanya kedua-dua pihak, mana-mana kes yang ada dalam mahkamah, yang masih dalam prosiding tidak ada dalam aturan mesyuarat," katanya.

Berita Harian X