Selasa, 14 Julai 2020 | 6:02pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Nilai moratorium pinjaman bank RM55.2 bilion

PUTRAJAYA: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai lalu, sejak dikuatkuasakan pada 1 April 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata

daripada angka itu, sebanyak RM19.3 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM35.9 bilion.

Katanya, tujuan moratorium adalah untuk memberikan kelegaan bagi rakyat dan perniagaan yang memerlukan dalam jangka masa enam bulan.

"Dalam masa sama, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah untuk menjana pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja termasuk menyokong perniagaan dari segi mengekalkan pekerjaan melalui Program Subsidi Upah.

"Memberi insentif bagi pengambilan pekerja dan bantuan latihan (di bawah

Pelan PENJANA) dan insentif peningkatan kemahiran untuk belia dan penganggur supaya mereka terbela sekurang-kurangnya selama tiga bulan dan kekal berdaya saing apabila pasaran pekerjaan kembali rancak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan LAKSANA Ke-13 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tengku Zafrul berkata, bagi mereka yang masih terkesan diseru untuk segera berbincang dengan institusi bank masing-masing bagi atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat.

"Bank-bank juga sedang proaktif menghubungi peminjam secara bersasar untuk menawarkan khidmat nasihat bagi bantuan bayaran balik," katanya.

Berita Harian X