Selasa, 14 Julai 2020 | 5:38pm

Guru buat persiapan buka sekolah maut terjatuh dari tingkat 1

TANAH MERAH: Seorang guru lelaki maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolahnya, di sini, hari ini ketika melakukan persiapan akhir sebelum pembukaan semula sekolah.

Rosli Abdul Aziz, 54, yang mengajar mata pelajaran Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah sejak 17 tahun lalu, disahkan maut akibat parah pada kepala.

Berdasarkan maklumat, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa melakukan pemeriksaan bersama beberapa guru lain di kawasan balkoni terbabit, bagi memastikan setiap sinki yang dipasang di dalam kelas berfungsi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, berkata mangsa dikatakan memanjat keluar dari dalam kelas ke balkoni belakang, sebelum memijak kerusi plastik dan tergelincir.

"Mangsa terjatuh pada ketinggian kira-kira tiga meter dan parah pada kepala terkena bahagian longkang.

"Mangsa yang mempunyai lima anak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat," katanya mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Zainuddin berkata, ketika kejadian mangsa berada bersama dua rakannya di balkoni berkenaan, manakala beberapa guru lain berada di dalam kelas itu.

"Kejadian disaksikan beberapa guru dan kami dimaklumkan semua guru ke sekolah untuk melakukan persediaan sempena pembukaan sekolah esok," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Ayah rapat dengan anak sejak minggu lalu'
  • KPM rakam ucapan takziah kematian Cikgu Rosli


  • Seorang guru lelaki maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu SK Batu Gajah, di Tanah Merah. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Seorang guru lelaki maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu SK Batu Gajah, di Tanah Merah. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
    Berita Harian X