Selasa, 14 Julai 2020 | 3:14pm

COVID-19: Jalani saringan 3 hari sebelum berlepas

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dari luar negara, perlu melakukan ujian saringan COVID-19, tiga hari sebelum tarikh berlepas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan bagi mengelak mereka berdepan masalah, seperti tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana status kesihatan tidak diketahui.

"Sebelum ini kita benarkan rakyat Malaysia dari luar negara untuk jalani ujian saringan sewaktu tiba di pintu masuk negara, tapi difahamkan banyak negara dan syarikat penerbangan perlukan bukti mereka berstatus negatif COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki pesawat.

"Untuk mengelakkan mereka tak dibenarkan masuk ke pesawat, kita putuskan hari ini, setiap rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air melalui penerbangan perlu membuat ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas pulang," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan memutuskan tidak membenarkan permohonan ekspatriat, yang dibenarkan masuk ke Malaysia untuk bekerja atau menguruskan syarikat, untuk bercuti di luar negara.

"Jika mereka tetap mahu ke luar negara untuk bercuti, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga satu tarikh yang ditetapkan. Keputusan ini untuk kita bersikap adil dengan rakyat kita yang juga tak dibenarkan ke luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara atas tujuan menyambung pengajian, boleh berbuat demikian tanpa perlu membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen.

"Mereka tak perlu mohon kepada Jabatan Imigresen, sebaliknya hanya perlu bawa surat membuktikan mereka perlu kembali ke pusat pengajian di lapangan terbang, tapi untuk bercuti tak dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  •  - Foto fail NSTP
    - Foto fail NSTP
    Berita Harian X