Isnin, 13 Julai 2020 | 10:32pm
MUHYIDDIN Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto/BERNAMA
MUHYIDDIN Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto/BERNAMA

Usul PM bukti pentadbiran kukuh

KUALA LUMPUR: Kejayaan usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengusulkan pengosongan jawatan Speaker Dewan Rakyat dan pelantikan Datuk Azhar Harun dilantik Speaker Dewan Rakyat baharu, memperlihatkan kekukuhan pentadbiran yang diterajui beliau.

Dengan 111 undi majoriti diperoleh Ahli Parlimen Pagoh itu membuktikan beliau mendapat sokongan untuk terus mengetuai kerajaan dan tidak timbul isu undi tidak percaya terhadapnya.

Penganalisis Undang-undang dan Politik Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata ketika usul itu diperbahaskan dalam sidang Parlimen itu hanya satu calon disebut dan tiada calon lain selain itu.

"Tadi hanya satu calon dari blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tiada bantahan, ia adalah sah kerana tiada calon lain Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga timbalannya, ia adalah sebulat suara.

"Untuk terus menjadi Perdana Menteri, siapa mendapat majoriti dialah yang layak, ia tidak pada majoriti dua pertiga atau sebagainya, ia mengikut lunas undang-undang.

"Justeru, Muhyiddin boleh meneruskan dasar PN. Kebaikan apabila usul beliau diluluskan Dewan Rakyat, beliau boleh meneruskan dasar, tumpuan pasca COVID-19 secara menyeluruh membabitkan semua sektor perniagaan, peluang pekerjaan, belanjawan dan sebagainya," ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, dengan majoriti itu walaupun dipertikaikan kerana hanya dua membabitkan angka dua, ia cukup membuktikan sokongan undi menerima.

"Dari segi pemilihan dapat 111 undi, cukup mengukuhkan kerana usul Ahli Parlimen itu tidak perlu dapat majoriti, dua pertiga, cukup lebih daripada satu berbanding bilangan yang menentang," katanya.

Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata, keabsahan Ahli Parlimen mahu menukarkan Speaker Dewan Rakyat adalah sah, asalkan mendapat undi majoriti.

"Hari ini dengan mendapat 111 undi, 109 menentang dan dua tidak hadir jadi secara tidak langsung walaupun beza hanya dua undi, ia tetap majoriti yang menandakan usul menukarkan Speaker itu berjaya. Walaupun tipis, tetap dikira menang.

"Cuma dari segi kekukuhan kerajaan, Muhyiddin perlu membuktikan pelantikan Speaker baharu ini lebih adil, saksama dan juga kepada pembangkang juga," katanya.

Mengulas lanjut, katanya pelantikannya seperti adalah biasa bagi kepimpinan kerajaan yang berkuasa untuk melantik individu yang mereka rasa mampu melaksanakan dengan baik dan ia tidak menjadi kesalahan, namun mesti melalui Dewan dan ia diluluskan.

"Bagaimanapun, impaknya kerajaan (Muhyiddin Yassin) kena agresif dalam memastikan Parlimen berjalan dengan baik dan adil sebab pembangkang bertindak sebagai 'check and balance'.

"Kalau mereka tidak bersikap adil pada pembangkang jadi rakyat akan pertikaikan pemilihan itu, justeru kenapa usul tadi dibenarkan, dan tiada sebarang isu undang-undang kerana ia melalui proses undang-undang tepat yakni diusulkan di Parlimen dan mendapat majoriti walaupun 111, tetap majoriti.

"Dari segi kekukuhan kerajaan kena membuktikan Speaker lebih saksama adil, kepada pembangkang tidak menjadi kesalahan cuma beliau perlu agresif, Parlimen berjalan adil, jika tidak, rakyat akan pertikai," katanya.

Katanya, tiada isu, cuma impak sosial kepada masyarakat, kerajaan kena lebih progresif, telus untuk mendapat lebih banyak sokongan dalam dewan, sebab sokongan dalam dewan yang menentukan kerajaan.

"Petanda daripada undi menukarkan Speaker itu sebenarnya melambangkan kekukuhan kerajaan itu, maka pentadbiran Muhyiddin perlu bekerja terus bekerja keras membuat perkara yang boleh memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

"Kerajaan juga tidak boleh mengulangi kesalahan yang dibuat kepimpinan kerajaan tidak kira Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) tetapi sebalik perlu lebih berdaya saing pasca COVID-19 ini tetapi kerana usul tukar Speaker tidak menjadi isu, ia absah, sah dari sisi undang-undang.

"Saya melihat dari siginifikan iaitu sokongan kepada kerajaan, melihat angka itu juga diperlihatkan oleh rakyat, rakyat boleh baca, apa pergolakan yang seterusnya boleh berlaku jika kerajaan PN tidak mampu menunjukkan kejayaan mereka," katanya.

Berita Harian X