Isnin, 13 Julai 2020 | 6:11pm
Mohd Izhar (kanan) menziarah bapa pencarum PERKESO, Abd Rahman Abu Samah, 70, (tengah) pada Program Ziarah PERKESO di Taman Impian Emas, Johor Bahru. - Foto Omar Ahmad
Mohd Izhar (kanan) menziarah bapa pencarum PERKESO, Abd Rahman Abu Samah, 70, (tengah) pada Program Ziarah PERKESO di Taman Impian Emas, Johor Bahru. - Foto Omar Ahmad

75 peratus pekerja Malaysia di Singapura bakal bekerja semula

JOHOR BAHRU: Sebanyak 75 peratus daripada lebih 100,000 pekerja Malaysia di Singapura yang dicutikan sementara berikutan penutupan sempadan negara akibat pandemik COVID-19 dijangka boleh bekerja semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia Johor, Mohd Izhar Ahmad, berkata ia adalah hasil perbincangan yang diadakan antara kerajaan negeri bersama kerajaan Singapura serta beberapa majikan yang kebanyakannya kilang utama di republik berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 15 peratus lagi pekerja Malaysia yang berulang alik ke Singapura masih dalam senarai menunggu manakala 10 peratus lagi daripada mereka sudah menyatakan hasrat untuk tidak bekerja semula di republik berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka hanya boleh bekerja semula apabila pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula... ini bergantung kepada keputusan kedua-dua kerajaan.

"Jadi saya harap masalah membabitkan mereka tidak berlanjutan kerana kita sudah ada usaha untuk menyelesaikannya," katanya pada Program Ziarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap waris penerima pencen Faedah Penakat PERKESO di Taman Impian Emas di sini, hari ini.

Beliau berkata, mengikut data yang diperoleh dianggarkan lebih daripada 100,000 rakyat Malaysia bekerja berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura secara harian.

Selain itu, Mohd Izhar berkata, pihak kerajaan negeri turut menyediakan program pasca COVID-19 bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan baharu atau menambah kemahiran mereka.

"Program yang akan diperkenalkan tidak lama lagi ini akan membabitkan beberapa sektor pekerjaan mengikut permintaan pasaran, khususnya sektor kejuruteraan," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan Skim Keilatan Faedah Pencen Penakat PERKESO dan wang pengurusan jenazah kepada waris penerima, Abdul Rahmah Abu Samah, 70, untuk Allahyarham Nuruldin Abdul Rahman yang meninggal dunia disebabkan 'Coronary Artery Thrombosis' ketika sedang berbasikal di Taman Perling pada jam 12.59 tengah malam, 1 Julai lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X