Selasa, 7 Julai 2020 | 6:53pm

Kaji modal mula francais RM50,000

SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti cadangan untuk mengurangkan modal permulaan perniagaan francais kepada hanya RM50,000.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya mendapatkan pandangan pelbagai pihak terutama usahawan bagi mengenal pasti perniagaan francais yang sesuai dengan jumlah modal itu.

Beliau berkata langkah itu adalah antara fokus Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2021-2025 yang sedang dirangka dalam usaha menggalakkan perniagaan francais dan mengembangkannya.

"Ini bertujuan menurunkan harga (modal permulaan) francais ke tahap murah dan berpatutan untuk mereka yang berminat menceburi sektor itu berikutan kebanyakannya sukar mendapat modal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra ke 13 outlet francais di KIP Mall Kota Warisan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kementerian meminta pasar raya memberi peluang kepada peniaga francais tempatan untuk memulakan perniagaan di premis mereka.

Katanya, ia akan membantu mengembangkan konsep perniagaan itu selain menghasilkan lebih ramai usahawan baharu.

"Kementerian akan mengadakan satu program bagi membantu peniaga baharu dan pusat beli belah yang menyokong pengembangan program ini," katanya.

Lawatan itu adalah adalah sebahagian daripada Program Jelajah Pembangunan Francais Domestik di Malaysia yang diselia KPDNHEP dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah), Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelanggan dan meninjau operasi 13 outlet francais di KIP Mall Kota Warisan, Sepang - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah), Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelanggan dan meninjau operasi 13 outlet francais di KIP Mall Kota Warisan, Sepang - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
Berita Harian X