Selasa, 7 Julai 2020 | 11:42am

Tiga kes positif JE di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Sebanyak tiga kes positif Japanese Encephalitis (JE) dikesan di Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga 7 Julai lalu.

Kes pada minggu epid 27 itu disahkan menerusi ujian makmal yang dilaporkan ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

JKN negeri dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kes dilaporkan di daerah Seberang Perai Selatan dan satu lagi dari daerah Barat Daya.

Terdapat tiga lagi kes disyaki JE yang dilaporkan ke JKN, namun masih perlu menunggu keputusan ujian pengesahan daripada makmal.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan dan PKD Barat Daya sudah melakukan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan 'larvasiding' dan semburan kabus di lokaliti berkenaan pada 23 dan 24 Jun lalu, iaitu dalam tempoh 24 jam selepas kes dilaporkan.

"Ia dilakukan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan juga nyamuk Culex dewasa yang membiak di takungan air kotor seperti dalam air kumbahan binatang ternakan, longkang atau parit tersumbat," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, JKN Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya mengambil langkah bagi menghentikan penularan dengan melakukan pemeriksaan di rumah dan kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Bahan pembunuh jentik-jentik nyamuk juga boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan.

"Masyarakat boleh menjalankan gotong-royong pembersihan di kawasan rumah sendiri dan sekitar bagi menghapuskan bekas atau tempat berpotensi pembiakan nyamuk serta mengelakkan kawasan sesak dan sempit atau sembang secara dekat.

"Jika mengalami demam dan gejala penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi, dapatkan rawatan dengan segera di klinik kesihatan atau hospital," katanya.

Berita Harian X