Selasa, 7 Julai 2020 | 10:18am

Belanjawan 2021 tumpu empat tema

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan November ini dirangka berlandaskan empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata semua tema itu bertujuan menjayakan wawasan kerajaan untuk menjadi pentadbir yang lebih mantap.

Katanya, bagi memacu pertumbuhan ekonomi, antara bidang yang akan diterapkan di bawah tema itu merangkumi usaha untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pengguna.

"Yang sama penting adalah memangkinkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kalangan sektor awam dan swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

"Dari sudut ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Mac dan April tahun ini telah memacu penggunaan teknologi merentas semua pihak samada individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat.

"Seperti yang diumumkan di bawah pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk mendorong penerapan teknologi dan digital oleh PKS serta memupuk inovasi digital melalui modal teroka baharu," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2020, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, semua usaha itu adalah sebahagian daripada galakan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, dengan penekanan pada transformasi digital.

Katanya, dari sudut pasaran modal pula, usaha Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk memanfaatkan teknologi digital telah menghasilkan platform perdagangan dan pelaburan dalam talian yang lebih menjimatkan kos.

"Peningkatan pelabur runcit dan pelabur institusi yang menggunakan teknologi digital untuk dagangan ekuiti yang lebih lancar dan kos efektif adalah amat menggalakkan.

"Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan akan memudahcara kepelbagaian yang lebih aktif dalam model perantara, seperti platform perdagangan algoritma, broker digital dan banyak lagi.

"SC bersama dengan Bursa Malaysia akan mewujudkan struktur pasaran yang menyokong model perniagaan yang lebih fleksibel dengan struktur modal yang lebih efisien. Kita yakin kerjasama ini akan merancakkan inovasi, mewujudkan lebih banyak kepelbagaian dalam peserta pasaran dan yang penting sekali, meningkatkan nilai untuk pelabur," katanya.

Seterusnya bagi tema ketiga, Tengku Zafrul berkata, pengalaman semasa menangani wabak COVID-19 menyaksikan rakyat Malaysia berupaya mengubah gaya hidup dengan pantas.

Krisis ini, katanya mencetuskan perubahan yang mendadak oleh perniagaan dan individu untuk lebih maju dan berdaya tahan, bukan saja dari segi digital malahan dari perspektif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), bagi menyokong pekerja, pelanggan serta masyarakat setempat.

"Pada masa sama, pandemik COVID-19 tidak memperlahankan momentum pelaburan mampan. Pada hakikatnya, di kebanyakan pasaran termasuk Amerika Syarikat (AS), didapati syarikat yang menerapkan prinsip ESG merekodkan prestasi yang lebih baik.

"Dalam tempoh lima tahun, FTSE4Good US 100 telah memberi pulangan kumulatif sebanyak 80 peratus berbanding dengan US Large Cap yang hanya memberi pulangan kumulatif sebanyak 65 peratus.

"Senario sama dapat dilihat di Malaysia, di mana pada bulan Mei, FTSE4Good Index iaitu indeks penanda aras untuk syarikat yang berfokus pada ESG, memberi pulangan sebanyak 5.3 peratus berbanding dengan FBM KLCI yang memberi pulangan sebanyak 4.8 peratus," katanya.

Untuk tema terakhir iaitu memantapkan penyampaian perkhidmatan awam, Tengku Zafrul berkata, beliau ingin menyentuh scara ringkas mengenai unit LAKSANA, iaitu Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional.

LAKSANA, katanya berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan langkah Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA).

Beliau berkata, LAKSANA menggunakan pendekatan pemantauan yang lebih efektif dengan menyelaras data terkini dan perkongsian data antara 53 kementerian dan agensi pelaksana.

"Data yang dikumpulkan dapat diperincikan dan sekiranya perlu, ditambah baik atau diperhalusi segera secara kos efektif, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lancar dan teratur.

"Kerajaan bermatlamat untuk berfokus kepada keberhasilan ke arah menyokong rakyat dan perniagaan dengan lebih bersasar.

"Secara ringkas, penekanan diberikan bukan kepada jumlah dana yang disalurkan, tetapi sama ada inisiatif itu dapat memberi impak yang bermakna kepada kehidupan rakyat. Laporan keberkesanan langkah ini juga dikongsi di pelbagai saluran media setiap minggu," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X