Sabtu, 4 Julai 2020 | 8:19pm
Pelaksanaan SOP yang baik akan merancakkan sektor pelancongan negara. - Foto NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Pelaksanaan SOP yang baik akan merancakkan sektor pelancongan negara. - Foto NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD

Pelancongan domestik rancakkan ekonomi

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu diberi galakan dan keyakinan untuk melancong sebagai langkah jangka pendek mengukuhkan industri pelancongan domestik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baik membolehkan orang ramai selesa untuk keluar berkunjung ke lokasi pilihan mereka.

"Pematuhan rakyat kita terhadap SOP sangat baik jika dibandingkan dengan negara lain. Jika mereka rasa yakin untuk keluar (melancong), mereka akan membantu industri pelancongan domestik.

"Pelancongan tempatan hanya langkah sementara (untuk memulihkan industri pelancongan negara) sebelum pintu sempadan dibuka," katanya dalam temu bual dalam program Money Matters terbitan TV3, hari ini.

Ditanya keperluan sama kerajaan perlu mengambil langkah menyelamat ('bailout') syarikat penerbangan yang terjejas bagi merancakkan lagi sektor pelancongan, Zafrul berkata, langkah itu tidak perlu.

Katanya, kerajaan yakin dengan kemampuan pemegang saham dua syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines (MAS) dan Air Asia dalam mencari penyelesaian terhadap kedudukan kewangannya yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

"Setakat ini, tiada permohonan daripada syarikat penerbangan ini untuk meminta bantuan kerajaan atau suntikan kewangan untuk syarikat mereka.

"Contohnya MAS yang dimiliki Khazanah (Nasional Berhad), sebagai 100 peratus pemegang sahamnya, mereka akan mencari penyelesaian tanpa pembabitan kerajaan bagi tempoh ini. AirAsia sebagai syarikat senaraian awam menerusi pemegang sahamnya akan melihat cara untuk mendepani cabaran sukar ini," katanya.

Menyentuh mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentang November ini, Zafrul berkata, tumpuan utama kerajaan bagi menangani kelembapan ekonomi negara dan mencari sumber baru pendapatan.

Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksaan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT 2) serta projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi merancang semula ekonomi.

Berita Harian X