Sabtu, 4 Julai 2020 | 2:42pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

77 ditahan ingkar PKPP

PUTRAJAYA: Seramai 77 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk menjalani aktiviti sukan yang bersentuh fizikal, aktiviti di pub atau kelab malam serta melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 50 didapati melanggar SOP, 15 terbabit sukan bersentuh fizikal dan baki 12 lagi kerana kegiatan di pub atau kelab malam.

Beliau berkata, 13 daripada mereka ditahan reman manakala 64 lagi dikenakan kompaun.

"Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 69,023 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 4,316 Pasukan Pematuhan, membabitkan 16,897 anggota membuat

pemantauan di 4,056 pasar raya, 5,545 restoran serta terhadap 1,775 penjaja, 1,586 kilang, 3,805 bank dan 1,093 pejabat kerajaan.

"Pemantauan juga dijalankan di 1,225 terminal pengangkutan darat, 260 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, PDRM melalui Operasi Benteng yang juga dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), membuat 66 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 35,704 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya melalui lorong-lorong tikus.

Beliau berkata, melalui operasi berkenaan, PDRM menahan sembilan warganegara asing yang dipercayai melakukan kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X