Jumaat, 3 Julai 2020 | 7:13pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi , menghadiri Majlis ‘Pocket Talk’ bersama francaisor di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi , menghadiri Majlis ‘Pocket Talk’ bersama francaisor di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI

Teliti turunkan modal francais serendah RM50,000

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneliti untuk mengurangkan modal permulaan bagi perniagaan francais serendah RM50,000.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya yakin langkah itu mampu meningkatkan minat golongan muda menjadi usahawan francais.

Ketika ini, katanya, KPDNHEP mengumpul cadangan daripada pelbagai pihak khususnya usahawan yang terbabit dalam bidang itu untuk mengenal pasti bidang perniagaan francais yang sesuai dimulakan dengan modal RM50,000.

"Berbanding modal permulaan ratusan ribu ringgit ketika ini, kini kita berusaha mengurangkan modal permulaan pada kadar lebih rendah kerana percaya ia mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai bidang keusahawanan terutamanya francais," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi 'Pocket Talk' bersama penggerak industri francais di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Nanta berkata, pandangan daripada penggerak industri akan dikumpul untuk diteliti seterusnya dimasukkan dalam Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2021-2025.

"PIPFN 2021-2025 sedang dirangka bagi merancakkan pertumbuhan industri francais negara.

"Kita mahu memperkasakan keusahawanan francais ini untuk membantu golongan muda kerana mereka tidak boleh berterusan mengharapkan pekerjaan dalam sektor awam," katanya.

Berita Harian X