Khamis, 2 Julai 2020 | 6:58pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - FOTO BERNAMA

COVID-19: PKD, PDRM giat kesan 620 belum jalani saringan kedua

PUTRAJAYA: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat melaksanakan aktiviti mengesan individu masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua yang perlu dilakukan pada hari ke-13 dalam tempoh kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan individu didapati melanggar syarat Perintah Pemantauan Di Rumah (HSO) boleh diambil tindakan, termasuk denda atau penjara atau kedua-duanya.

Justeru, beliau berkata, pengembara pulang ke negara ini diminta memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mematuhi syarat HSO dikenakan terhadap mereka, termasuk menjalani ujian saringan hari ke-13 itu.

Setakat ini, katanya, seramai 5,184 individu terbabit sudah diberi pelepasan (Home Release Order) selepas keputusan saringan hari ke-13 didapati negatif, manakala 620 lagi masih perlu menjalani ujian berkenaan.

Beliau berkata, data terkini sudah dikemas kini dan disahkan berhubung bilangan individu dalam pemantauan (PUS) yang discaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun lalu sebelum diletakkan bawah HSO.

"Hingga jam 12 tengah hari tadi, daripada sejumlah 5,804 individu bawah arahan HSO, 620 orang masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13. Bilangan ini kurang 852 orang daripada jumlah dilaporkan pada 29 Jun lalu.

"PKD bersama PDRM sedang giat menjalankan aktiviti mengesan individu yang perlu menjalani ujian saringan hari ke-13 itu.

"Ahli keluarga kepada pengembara bawah perintah ini juga diminta menasihati dan memastikan mereka akur kepada syarat HSO," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diharap bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.

Beliau dipetik sebagai berkata, golongan itu wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.

Jika gagal berbuat demikian, Ismail Sabri berkata, mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan serta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X