Khamis, 2 Julai 2020 | 5:30pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dari kiri) menyampaikan lesen kepada penjaja pada program Penyerahan Lesen Terhad kepada Penjaja di Jalan Taman Setapak Indah, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dari kiri) menyampaikan lesen kepada penjaja pada program Penyerahan Lesen Terhad kepada Penjaja di Jalan Taman Setapak Indah, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Penjaga kena mohon lesen niaga, hapus kartel

KUALA LUMPUR: Penjaja digesa tidak terus dibelenggu menjadi mangsa kartel yang memaksa membayar caj sehingga mencecah ribuan ringgit sebagai 'lesen' kebenaran untuk berniaga di tepi jalan, sebaliknya memohon lesen niaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serendah RM20.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata mereka sepatutnya berbuat demikian bagi mengelak menjadi sasaran orang tengah yang sekadar mahu meraih untung atas angin tanpa sebarang jaminan.

Beliau juga tidak mahu selepas DBKL memberi lesen berniaga kepada penjaja, mereka menyalahguna atau mengambil kesempatan terhadap kemudahan diberikan.

"Kita nak cuba mengurangkan kartel...tak perlu ada kartel dan terpaksa membayar pula pihak ketiga. Saya diberitahu ada tempat-tempat yang mula maju berniaga dan ada orang datang kutip bayaran RM400, RM500 atau pun dia jual tapak kepada orang lain sampai beribu-ribu.

"Penjaja diberi peluang sama ada memohon lesen berniaga serendah RM20 sebulan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau dikerah untuk membayar ribuan ringgit kepada 'orang tengah'. Bila tempat itu maju, jualkan tapak itu. Ada sesetengah jual dengan lesen sekali dengan harga beribu-ribu. Jangan dianggap sekarang kita permudahkan lesen, semua percuma sehingga timbul kesulitan kepada DBKL.

"Melalui DBKL, lesen-lesen ini tidak perlu bayar banyak. Sebulan RM20 sahaja. Token macam pendaftaran lesen sahaja. Saya harap penjaja dapat bekerjasama dan timbal balas apa yang kita permudahkan supaya jangan disalahgunakan," katanya pada sidang selepas menyerahkan surat tawaran permit sementara waktu terhad Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada 97 penjaja di Setapak Indah di sin, hari ini.

Penjaja berkenaan memperoleh permit berniaga dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan dan hanya perlu membayar RM20 sebulan, selain perlu mematuhi peraturan ditetapkan DBKL.

Mengulas lanjut, Annuar berharap kemudahan diberikan DBKL tidak 'diperdagangkan' sewenang-wenangnya kerana apa yang dilakukan bermatlamat membantu rakyat tempatan mencari rezeki melalui perniagaan mereka.

Sementara itu, beliau berkata konsep penjaja di Kuala Lumpur akan dinaik taraf dan diseragamkan.

Katanya, ia membabitkan susun atur gerai, penjadualan, kebersihan dan keselamatan yang mana langkah itu tidak lain dapat melancarkan pengoperasian gerai tepi jalan supaya tidak mengakibatkan kesesakan teruk selain bersistematik.

"Kita harap beberapa perkara dapat dilakukan seperti khemah diseragamkan. Sebab kita tak mahu gerai gerak menyakitkan mata. Oleh itu, lokasi petak akan disusun dalam susun atur, penjadual siapa bekerja di situ mengikut waktu tertentu juga disusun.

"Justeru, penjaja kena mematuhi peraturan bagi memastikan jangna berlaku kesesaan dan ketidakselesaan kepada pengguna jalan rayat. Kena kawalselia supaya ia tak jadi halangan kepada trafik. Itu penting.

"Tempat ini (Setapak Indah) pertama saya beri banyak kelonggaran secara banyak. Ada lain lagi tapi sporadik. Maka, kalau orang di sini tak urus dengan baik, maka ia akan susahkan orang...tetapi peniaga salah guna tempat," katanya.

Berita Harian X