Khamis, 2 Julai 2020 | 2:49pm

Sekolah agama, madrasah tahfiz berdaftar dibuka semula 15 Julai

KUALA LUMPUR: Semua sekolah agama dan madrasah tahfiz berdaftar bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta kerajaan negeri, dibenarkan beroperasi semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar bagaimanapun perlu merujuk pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

"Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikemukakan KPM supaya kita dapat menamatkan rantaian COVID-19.

"Ia termasuk madrasah berdaftar bawah KPM boleh beroperasi semula. Namun jika tidak berdaftar, mereka perlu memohon kepada kerajaan negeri masing-masing," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan memberi latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP yang bersesuaian dengan normal baharu bagi meningkatkan kompetensi mereka.

"MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir. Selain itu, penambahbaikan terhadap sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) akan dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan kes tertunggak," katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa lebih dua jam bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini. - FOTO BERNAMA
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini. - FOTO BERNAMA
    Berita Harian X