Sabtu, 27 Jun 2020 | 2:29pm
Kerugian semasa yang dialami industri pelancongan dan budaya tahun ini dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Kerugian semasa yang dialami industri pelancongan dan budaya tahun ini dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Industri pelancongan rugi RM45 bilion

KUCHING: Kerugian semasa yang dialami industri pelancongan dan budaya tahun ini dianggarkan mencecah RM45 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pekerja dalam sektor pelancongan turut terkesan apabila ramai yang terjejas dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi April tahun ini, jumlah pekerjaan menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Antara tenaga kerja yang paling terjejas adalah dalam sektor perkhidmatan seperti penginapan, penyediaan makanan dan minuman, seni, hiburan serta rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan Sarawak di Pusat Konvensen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Nancy berkata, bagi menangani isu itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menerusi agensi pelancongan akan memperkukuhkan inisiatif pelancongan domestik di bawah kempen Cuti-Cuti Malaysia.

"Selain itu, MOTAC juga akan memperhebatkan aktiviti perhubungan awam dan promosi media sosial kami termasuk kolaborasi dalam talian dengan pihak berkepentingan.

"Kami juga akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan dengan memperkenalkan sesuatu yang baharu.

"Ia bagi meningkatkan keyakinan pelancong melakukan perjalanan sehingga mendorong mereka untuk tinggal lebih lama serta mengunjungi lebih banyak tempat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri pelancongan dan budaya untuk memastikan perkhidmatan dan produk yang disediakan berkualiti tinggi terutama mengenai keselamatan, kebersihan dan kesihatan.

Selain itu, bagi membantu pemain industri pelancongan tempatan, MOTAC menyediakan geran untuk kegiatan promosi dan pemasaran pelancongan domestik.

"MOTAC juga memperkenalkan dana khas untuk pelancongan bagi mendukung pengembangan pengusaha pelancongan kecil dan sederhana yang diuruskan oleh SME Bank dengan menawarkan pinjaman dari RM50,000 hingga RM10 juta sesuai dengan potensi projek yang dicadangkan.

"Bagi memastikan industri pelancongan terus berdaya saing, MOTAC melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu meringankan beban pemain industri seperti kursus dalam talian untuk pemandu pelancongan berlesen, kursus latihan Mesra Malaysia untuk barisan hadapan pelancongan, pengecualian lesen bayaran untuk pengendali pelancongan, agensi pelancongan dan pemandu pelancong juga diskaun 40 peratus untuk kompaun yang dikeluarkan oleh kementerian sebelum 31 Disember 2020," katanya.

Mengenai cuti sekolah pada hujung tahun ini yang disingkatkan, Nancy berkata, ia tidak akan memberi kesan serius terhadap sektor pelancongan domestik.

"Walaupun bermula agak perlahan (susulan Perintah Kawalan Pergerakan) saya percaya pelancongan domestik tidak akan terjejas akibat cuti sekolah dipendekkan.

"Ini kerana banyak lagi produk pelancongan tempatan seperti restoran, muzik serta banyak acara lain mampu menarik pelancong domestik mulai sekarang hingga hujung tahun ini," katanya.

Berita Harian X