Jumaat, 26 Jun 2020 | 7:29pm
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan beramah mesra dengan kakitangan Xinyi Solar (Malaysia) sempena lawatan kerja ke Xinyi Solar (Malaysia) Sdn Bhd, Jasin, Melaka. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan beramah mesra dengan kakitangan Xinyi Solar (Malaysia) sempena lawatan kerja ke Xinyi Solar (Malaysia) Sdn Bhd, Jasin, Melaka. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Peminjam PTPTN dinasihat tidak terlalu pilih kerja

JASIN: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih menganggur dinasihatkan tidak terlalu memilih kerja ketika dunia berdepan kelembapan ekonomi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata sikap sedemikian merugikan golongan terbabit, terutama ketika peluang pekerjaan terbuka untuk mereka.

Katanya, peluang yang diberikan oleh kerajaan menerusi PTPTN dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu perlu direbut bagi menampung kehidupan mereka di masa depan.

"Ketika dunia diancam kelembapan dan ekonomi, saya khuatir masyarakat yang menganggur termasuk peminjam PTPTN akan terkesan kerana mereka bukan saja tiada pekerjaan tetapi juga perlu membayar balik pinjaman.

"Sebagai kerajaan prihatin, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO tampil untuk membantu golongan itu mendapatkan pekerjaan.

"Cuma permintaan saya ialah mereka tidak memilih kerja, terimalah apa saja pekerjaan yang ditawarkan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan dan pada masa sama dapat melunaskan pinjaman PTPTN," katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat penginapan pekerja kilang pembuatan kaca Xinyi Glass di Lipat Kajang, Merlimau, di sini hari ini.

PTPTN semalam memaklumkan, peminjam termasuk yang disenarai hitam berpeluang mencari pekerjaan di platform disediakan institusi pengurusan dana dan tabung pendidikan tinggi itu dengan kerjasama PERKESO.

Program 'Virtual Mini Job Hunt for PTPTN Borrowers' secara dalam talian menyediakan sebanyak 4,609 jawatan kosong membabitkan 20 majikan.

Program itu bukan sahaja membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan, tetapi juga terbuka kepada individu yang sudah bekerja namun ingin meningkatkan taraf hidup.

Sementara itu, Saravanan berkata, kementeriannya mahu agensi yang mengambil pekerja asing di negara ini turut mendaftarkan kemasukan pekerja dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, langkah terbabit adalah untuk penyelarasan, selain memantau serta mengimbangi sektor pekerjaan di negara ini yang memerlukan khidmat pekerja asing.

Berita Harian X