X
Jumaat, 26 Jun 2020 | 4:12pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis pembukaan Persidangan Ketua-Ketua Negara ASEAN yang dijalankan secara virtual. - Foto ihsan FB
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis pembukaan Persidangan Ketua-Ketua Negara ASEAN yang dijalankan secara virtual. - Foto ihsan FB

Sidang Kemuncak Asean: Malaysia gesa komuniti antarabangsa kutuk dan tolak rancangan pengambilalihan Israel

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menggesa komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengutuk dan menolak rancangan pengambilalihan Israel terhadap bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat.

Semasa membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, komuniti antarabangsa hendaklah juga memastikan rancangan itu tidak akan dilaksanakan.

Beliau berkata, Malaysia begitu prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, yang berterusan berhadapan dengan keadaan ketidakstabilan di Asia Barat.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak pengumuman baru-baru ini oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambilalihan bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat," katanya pada Sidang Kemuncak yang diadakan secara maya dan dihoskan oleh Pengerusi ASEAN 2020, Vietnam.

Muhyiddin menyertai Sidang itu dari Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur akan terus berdiri teguh dan bersatu padu dengan rakyat Palestin.

Muhyiddin menjelaskan bahawa rancangan pengambilalihan itu semakin mengurangkan prospek penyelesaian dua negeri, yang disokong oleh komuniti antarabangsa.

"Tindakan haram dan sebelah pihak oleh Israel jelas mempertikaikan keikhlasannya terhadap penyelesaian keamanan dan damai terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlarutan," katanya.

Malaysia telah lama memperjuangkan penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.

Kerajaan perpaduan Israel, dibentuk antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pesaing politiknya Benny Gantz pada Mei, menandatangani satu perjanjian yang membenarkan Israel untuk memulakan undang-undang untuk pengambilalihan sebahagian besar wilayah yang diduduki di Tebing Barat bermula 1 Julai.

Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur, telah berada di bawah penjajah Israel sejak Perang Enam-Hari 1967. Dianggarkan 700,000 penduduk haram Israel menduduki wilayah berkenaan.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, pada perjumpaan maya Majlis Keselamatan pada Rabu, menggesa Israel supaya membatalkan rancangannya untuk mengambil alih bahagian Tebing Barat yang diduduki. – BERNAMA

Berita Harian X