Jumaat, 26 Jun 2020 | 9:49am
Ahmad Suboh Salleh, 52, mengisi cecair racun perosak ke dalam tangki khas dron sebelum semburan dilakukan di petak sawah sekitar Kampung Paya Kerchut, Pendang. - foto BERNAMA
Ahmad Suboh Salleh, 52, mengisi cecair racun perosak ke dalam tangki khas dron sebelum semburan dilakukan di petak sawah sekitar Kampung Paya Kerchut, Pendang. - foto BERNAMA

Pesawah harap subsidi input diteruskan

ALOR SETAR: Pesawah di negeri ini berharap kerajaan akan meneruskan skim subsidi padi berasaskan input berbanding cadangan subsidi berasaskan keluaran.

Kalangan pesawah berpendapat cadangan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) supaya kerajaan memberi subsidi berasaskan jumlah keluaran pesawah, tidak sesuai kerana hasil padi petani sering terjejas akibat serangan serangga perosak, penyakit serta bencana alam.

Bagi pesawah, Mohd Syahrul Nizam Mehad, 33, berkata cadangan KRI itu juga tidak sesuai terutama bagi kalangan petani yang mengusahakan sawah dalam saiz kecil.

"Contohnya saya mengusahakan hampir tiga hektar sawah, setiap musim bukannya selalu saya dapat untung, modal untuk menanam hingga menunai setiap 0.29 hektar atau serelung sawah adalah RM1,000 . Ia termasuk upah membajak, meracun, membaja dan menuai.

"Bayangkan jika tiada subsidi baja dan benih, lagi tinggi modal yang kami terpaksa keluarkan, sekiranya tanaman tidak menjadi, semua modal akan hangus begitu saja dan kami terpaksa berhutang untuk memulakan musim seterusnya.

"Itulah risiko menjadi petani, bagaimana hendak diukur mengikut prestasi, hasil padi kadang-kadang di luar kawalan petani atas beberapa faktor tadi," katanya yang mengusahakan sawah di Yan sejak 10 tahun lalu.

Bagi pesawah di Pokok Sena, Mohamad Khairol Ashraf Din, 29, dia mengusahakan sawah dengan hanya mengharapkan air hujan berikutan berada di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, kemarau yang panjang musim lalu menyebabkan satu hektar sawahnya menjadi 'lalang'.

"Jika hujan terlalu kerap, air akan melimpah ke sawah dan semua tanaman akan rosak. Untuk menanam musim seterusnya rata-rata petani tiada modal dan terpaksa bergolak gadai atau berhutang.

"Kami berkorban untuk keselamatan makanan negara walaupun kadang-kadang rugi, jika terus biar sawah begitu sahaja langsung tak mendatangkan hasil, ia akan beri kesan kepada pengeluaran padi negara.

"Sebab itulah petani tetap perlukan subsidi input bagi meneruskan kelangsungan hidup," katanya yang turut menampung hidup dengan memandu lori.

Sementara itu, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata cadangan KRI itu perlu diteliti terutama aspek risiko kemarau, banjir dan serangan penyakit yang ditanggung pesawah terutama yang berskala kecil.

Ini kerana hanya pengusaha sawah berskala besar berkemampuan menyediakan modal sendiri bagi memulakan aktiviti menanam hingga menuai.

"Oleh itu sistem subsidi berdasarkan keluaran akan menambahkan lagi risiko berkurang atau tiada punca pendapatan kepada pesawah sedangkan pelaburan sudah dibuat.

"Pesawah kecil memerlukan modal awal untuk membajak, membeli benih, membeli input pertanian seperti baja dan racun bagi menjalankan aktiviti sawah. Ketiadaan atau kekurangan modal akan menyebabkan pesawah terpaksa berhutang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, Tarmizi berpandangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu bersedia untuk memainkan peranan atau bertindak sebagai saluran pemberi kredit dan juga pembekal input pertanian.

Selain itu, PPK juga perlu bersaing dengan pihak swasta dalam liberalisasi pemasaran input pertanian.

Kelmarin, media melaporkan KRI mencadangkan subsidi padi yang kini diberikan berasaskan input iaitu bayaran pindahan tunai, baja dan benih wajar ditukar kepada subsidi berasaskan output iaitu ganjaran mengikut prestasi sawah.

Mengikut laporan KRI dalam kajiannya bertajuk Implikasi Peralihan Besar kepada Tanaman Industri dalam Sektor Pertanian Malaysia: Fasa I: Model Sistem Dinamik Sektor Padi dan Beras, secara dasarnya bagaimanapun berkata masa depan industri padi tidak terletak kepada subsidi, tetapi program penyelidikan, pembangunan dan pengembangan (RDE) berimpak tinggi.

Mohd Saifullah Halim, 22, mengendalikan dron untuk menyembur racun di sawah sekitar Kampung Paya Kerchut, Pendang, Kedah. Dron yang dibeli pada harga RM32,000 kini menjadi punca pendapatannya sejak April lalu. Setiap hari dia bersama dua pembantunya menyembur racun sehingga 10 hektar sawah dan setiap 0.29 hektar sawah dia akan menerima upah antara RM12 hingga RM20. - foto BERNAMA
Mohd Saifullah Halim, 22, mengendalikan dron untuk menyembur racun di sawah sekitar Kampung Paya Kerchut, Pendang, Kedah. Dron yang dibeli pada harga RM32,000 kini menjadi punca pendapatannya sejak April lalu. Setiap hari dia bersama dua pembantunya menyembur racun sehingga 10 hektar sawah dan setiap 0.29 hektar sawah dia akan menerima upah antara RM12 hingga RM20. - foto BERNAMA

Berita Harian X