Isnin, 22 Jun 2020 | 3:35pm
- Syarikat penerbangan perlu menurunkan harga tambang susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang pesawat dan pengunjung di terminal. Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
- Syarikat penerbangan perlu menurunkan harga tambang susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang pesawat dan pengunjung di terminal. Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Syarikat penerbangan wajar turun harga tambang - Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan perlu menurunkan harga tambang susulan

kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang pesawat dan pengunjung di terminal.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada syarikat penerbangan dalam perjumpaan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia Berhad dan Malindo Air pada 11 Jun lalu.

Katanya, pada perjumpaan bagi membincangkan pemulihan semula sektor penerbangan itu, syarikat penerbangan diminta mengurangkan harga tambang dan meningkatkan kekerapan penerbangan.

"Pengurangan tambang dan kekerapan penerbangan itu sejajar dengan pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

"Syarikat penerbangan memaklumkan bahawa harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik, antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Khas Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Jun lalu, memutuskan supaya pelaksanaan penjarakan sosial di pintu pelepasan (boarding gate) sebelum memasuki pesawat dalam terminal lapangan terbang dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ka Siong berkata, syarikat penerbangan menyatakan akan menetapkan kadar tambang penerbangannya dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi.

Katanya, syarikat penerbangan menyatakan mereka perlu memastikan permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum COVID-19.

"Tambang penerbangan juga mengambil kira waktu tiket itu dibeli. Sekiranya tiket yang dibeli terlalu hampir dengan tarikh penerbangan, maka harga tambang akan menjadi lebih tinggi berbanding pembelian awal.

"Orang ramai disaran untuk membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding pembelian di saat akhir," katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan juga telah mengingatkan syarikat penerbangan untuk sentiasa menetapkan kadar tambang penerbangan munasabah dan tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya Mesyuarat Khas Menteri juga memutuskan pelaksanaan penjarakan sosial dilonggarkan bagi penumpang yang sudah melepasi pemeriksaan keselamatan dan sedang beratur di pintu pelepasan.

"Pengunjung selain daripada penumpang, katanya dibenarkan untuk memasuki bangunan terminal di lapangan terbang.

"Ia bertujuan membantu penumpang terutama warga emas dan orang kelainan upaya yang memerlukan bantuan.

"Ditegaskan bahawa orang ramai masih perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan menggunakan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman ketika berada di terminal lapangan terbang,"katanya.

Berita Harian X