Ahad, 14 Jun 2020 | 2:07pm
Pemandangan di sekitar kawasan Kampung Baru berhampiran Menara Berkembar Petronas. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pemandangan di sekitar kawasan Kampung Baru berhampiran Menara Berkembar Petronas. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Tiada perbincangan terkini Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Tiada perbincangan terkini membabitkan pembangunan terancang yang akan dilaksanakan di Kampung Baru.

Ahli Jemaah Malay Agricultural Settlement (MAS) merangkap Penasihat Kesihatan dan Alam Sekitar, Raden Salikun Mui, berkata pihak penduduk menganggap perancangan dahulu sudah 'tiada' berikutan tidak ada pihak yang hadir menemui mereka.

Beliau berkata, sekiranya terdengar pelan pembangunan terbaharu kampung itu, mereka beranggapan ia hanya khabar angin kerana tiada perkembangan terbaharu yang boleh disahkan sehingga kini.

"Kali terakhir perbincangan mengenai pembangunan Kampung Baru adalah ketika pentadbiran kerajaan terdahulu namun sehingga kini perkara itu tidak lagi timbul dari mana-mana pihak.

"Oleh demikian, penduduk menganggap perbincangan dahulu sudah 'tiada'," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya mengenai pertemuan dengan wakil Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk menteri yang baharu, Raden Salikun menjelaskan, pertemuan sentiasa berlangsung namun tiada perbincangan mengenai pembangunan terancang Kampung Baru.

"Ia hanya pertemuan untuk kesejahteraan penduduk Kampung Baru sahaja contohnya ketika tempoh COVID-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan," katanya.

Sebelum ini, tawaran harga menarik ditawarkan oleh kerajaan terdahulu untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru.

Tawaran itu bagaimanapun hanya membabitkan pemilik tanah terletak dalam kawasan seluas 89 hektar merangkumi 879 lot yang diwartakan sebagai kawasan MAS.

Berita Harian X