Sabtu, 13 Jun 2020 | 10:30pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Kelonggaran jarak sosial dalam penerbangan dimuktamadkan secara kolektif

KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan kelonggaran jarak sosial dalam penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual dibuat selepas rundingan bersama pihak berkepentingan di sektor awam dan swasta, sekali gus menyaksikan ia tidak diputuskan sebelah pihak.

Rundingan itu mengambil kira kepentingan keselamatan serta kesihatan penumpang dan anak kapal, sebelum keputusan dimuktamadkan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, rundingan itu bersandarkan kepada cadangan daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan bukti saintifik dan penilaian risiko mengikut fakta yang tepat.

Rundingan itu turut membabitkan pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi yang dirangka KKM.

"Penumpang wajib memakai pelitup separuh muka, pemeriksaan suhu badan dan ujian saringan gejala menggunakan pengimbas sebelum menaiki pesawat, jejak kontak penumpang serta penggunaan cecair pembasmi kuman.

"Garis panduan KKM mengenai pencegahan jangkitan dan kesedaran kebersihan perlu disampaikan sepenuhnya kepada anak kapal syarikat penerbangan dan ruang kabin kapal terbang dibersihkan selepas setiap penerbangan.

"Penumpang juga perlu mengelakkan aktiviti bersentuhan ketika perkhidmatan penerbangan seperti pengendalian makanan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu, SOP berkenaan sudah dibincang dan dipersetujui Kementerian Pengangkutan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada 7 Jun lalu.

"Kementerian komited mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pengguna serta kakitangan pengangkutan awam, selain akan terus memantau keadaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pengangkutan awam termasuk bas awam, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini.

Bagaimanapun, bagi pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri perlu patuh kepada SOP, khususnya penjarakan sosial.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X