Jumaat, 12 Jun 2020 | 5:25pm
Seramai 81 warga Malaysia dibawa pulang dengan menggunakan pesawat pengangkut Hercules C130H TUDM dari No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. - Foto FB TUDM
Seramai 81 warga Malaysia dibawa pulang dengan menggunakan pesawat pengangkut Hercules C130H TUDM dari No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. - Foto FB TUDM

COVID-19: 81 warga Malaysia terkandas di Filipina selamat dibawa pulang

KUALA LUMPUR: Seramai 81 warga Malaysia yang terkandas di selatan Filipina akibat sekatan susulan penularan COVID-19, dibawa pulang ke tanah air melalui Misi Repatriasi Rakyat Malaysia, semalam.

Menurut Bahagian Perhubungan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan, hari ini, kesemua mereka dibawa pulang dengan menggunakan pesawat pengangkut Hercules C130H TUDM dari No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

"Penerbangan itu adalah usaha sama Kementerian Luar, Duta Besar Malaysia ke Filipina dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui TUDM.

"Usaha membawa pulang 81 rakyat Malaysia yang semuanya adalah penduduk Sabah itu dilaksanakan atas dasar mengambil kira faktor keselamatan warga Malaysia dan situasi semasa di negara berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, misi terbabit berjaya dilaksana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) digariskan Markas Pemerintahan Operasi Udara bagi menjalankan misi sedemikian ketika negara mula-mula dilanda wabak COVID-19.

"Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada jam 10.11 pagi, semalam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga pada jam 12.02 tengah hari.

"Pengurusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga mengambil masa lebih tiga jam sebelum pesawat berlepas pada jam 3.25 petang dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2 pada jam 4.25 petang," katanya.

Pesawat dikendalikan juruterbang, Mejar Muhammad Izwanshah Azman, dengan dibantu anak kapal No 20 Skuadron terdiri daripada Mejar Mohd Azrin Zaihari, Kapten Muhammad Sujangi dan Kapten Nor Sazmil Nor Azman serta dua Kuarter Master Udara, iaitu Flait Sarjan Wahiyudin Wahid dan Sarjan Udara Muhamad Anuar Mohd Yusoff.

"Misi Repatriasi ini diketuai Kolonel Dr Saravanan Annamalai selaku Komander Misi, dengan disertai tim perubatan dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Pangkalan Udara Subang yang diketuai Mejar Dr Adif Faidz Daud dan seorang staf pembantu perubatan.

"Turut sama dalam misi ini ialah doktor dan staf perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQZ) Kota Kinabalu," menurut kenyataan itu lagi.

Semua petugas misi itu turut dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memastikan mereka bebas daripada terdedah sebarang jangkitan virus.

Selepas misi itu selesai, pesawat C130H terbabit dilakukan disinfeksi sepenuhnya, manakala semua tim petugas melalui proses perubatan dan kuarantin bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X