Jumaat, 12 Jun 2020 | 3:08pm

Bas pekerja, pelancong dibenar beroperasi

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas pekerja dan pelancong dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata biarpun dua perkhidmatan terbabit tidak dinyatakan sebelum ini, pengendalinya boleh menjalankan operasi dengan kapasiti dibenarkan.

"Bas kilang pun sama (boleh beroperasi dengan kapasiti penuh). Sebenarnya lagi mudah dikawal kerana setiap penumpang sudah dikenal pasti berbanding pengguna pengangkutan awam lain.

"Bas membawa pelancong juga sama, boleh beroperasi dengan kapasiti penuh," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bermula semalam, pengangkutan awam termasuk bas awam, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Ismail Sabri ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun berkata, bagi pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri, mereka perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan sosial.

"Bagi pengangkutan awam seperti LRT dan MRT (transit aliran massa), penumpang perlu mengawal kendiri penjarakan supaya tidak berhimpit dan bersesak.

"Selain itu, penumpang dan pemandu setiap masa mesti pakai pelitup muka dan memuat turun aplikasi MySejahtera selain menggunakan cecair pembasmi kuman sepanjang perjalanan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
    Berita Harian X