Jumaat, 12 Jun 2020 | 2:10am
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Syarikat penerbangan disaran tetapkan kadar tambang munasabah, tidak bebankan rakyat

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan disaran supaya sentiasa menetapkan kadar tambang munasabah dan tidak membebankan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil daripada tiga syarikat penerbangan, iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia dan Malindo Air, semalam.

Pada perjumpaan itu, beliau berkata, mereka antara lain berbincang mengenai pemulihan semula sektor penerbangan yang juga pintu masuk ekonomi negara, selepas penularan wabak COVID-19.

"Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang, pasti rakyat berharap tambang tiket akan mula turun sebaik saja penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa dibuka kembali tanpa mengenakan syarat penjarakan sosial.

"Berdasarkan maklum balas diterima daripada syarikat penerbangan, tempahan tiket mestilah awal dan tidak mungkin tambang turun serta-merta, terutama bagi tiket penerbangan dibeli sehari dua sebelum tarikh pelepasan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail; CEO AirAsia, Riad Asmat; dan CEO Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, atas sokongan penuh syarikat penerbangan mereka dalam usaha melakukan yang terbaik untuk menurunkan harga tambang.

"Bagi tiket penerbangan ditempah dua atau tiga minggu sebelum tarikh pelepasan, harganya mungkin 50 peratus daripada tiket yang dibeli sehari dua sebelum pelepasan," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial Facebook beliau, semalam.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menyarankan supaya rakyat memberi lebih ruang dan waktu untuk tambang dikenakan syarikat penerbangan kembali normal.

Beliau berkata, ini kerana semua syarikat penerbangan kini mengalami tekanan kewangan yang luar biasa akibat wabak COVID-19 dengan penurunan jumlah penumpang hingga 97 peratus.

"Tanpa penumpang, dengan perbelanjaan yang perlu mereka tanggung, boleh mendorong ke arah ambang muflis," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X