Khamis, 11 Jun 2020 | 6:18pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kebenaran pengangkutan awam beroperasi penuh ikut garis panduan IATA

PUTRAJAYA: Kebenaran pengangkutan awam beroperasi kapasiti penuh mulai hari ini, diberikan selepas mengambil kira garis panduan dikeluarkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata garis panduan IATA jelas menyatakan penjarakan sosial tidak diwajibkan, selain kerajaan mempunyai akses untuk membuat pengesanan kontak setiap penumpang.

Bagaimanapun, katanya, pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada semua penumpang, selain prosedur operasi standard (SOP) lain akan diperketatkan serta operasi nyah kuman dapat diperbanyakkan.

Pengangkutan awam terjejas teruk susulan penjarakan sosial, khususnya sektor penerbangan yang merekodkan penurunan ketara hingga tahap tiga peratus bagi penumpang domestik dan kurang dua peratus untuk penumpang antarabangsa, berbanding kapasiti normal.

"Kita mendengar nasihat semua pemegang taruh dan keputusan dibuat untuk tidak mengamalkan penjarakan sosial dalam pengangkutan awam. Ia kerana, sektor ini hanya mampu beroperasi pada tahap 20 peratus jika menjalankan penjarakan sosial.

"Ia sekali gus tidak dapat memenuhi pertambahan permintaan apabila insentif MY30 dilaksanakan, selain keputusan ini antara lain tak akan beri tekanan kepada mana-mana pengusaha (pengangkutan awam), termasuk bas ekspres," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pengangkutan awam termasuk bas awam, feri, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh mulai hari ini.

Bagaimanapun, bagi pengangkutan awam yang membenarkan penumpang berdiri, mereka perlu patuh kepada SOP, khususnya penjarakan sosial.

Ka Siong berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri penerbangan bagi memohon supaya harga tiket perkhidmatan itu dapat dikurangkan susulan pengumuman itu, hari ini.

"Kita tahu tidak boleh campur tangan dalam urusan penjualan tiket, tetapi kita minta jasa baik mereka (untuk mengurangkan kadar tambang).

"Begitu juga dengan bas ekspres kerana mereka tidak boleh tampung kerugian susulan penjarakan sosial. Tambahan, kadar tambang bas ekspres tidak dikaji semula sejak 17 tahun lalu, sekali gus akan memberi lebih tekanan kepada pengusaha," katanya.

p>

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X