Selasa, 9 Jun 2020 | 11:21pm
(Gambar fail - hiasan) Majikan perlu memastikan pekerja asing mereka yang baharu, menjalani ujian saringan COVID-19. - NSTP/ASWADI ALIAS
(Gambar fail - hiasan) Majikan perlu memastikan pekerja asing mereka yang baharu, menjalani ujian saringan COVID-19. - NSTP/ASWADI ALIAS

COVID-19: Majikan perlu pastikan pekerja asing baharu jalani ujian saringan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja asing mereka yang baharu, menjalani ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tujuh kes jangkitan direkodkan, hari ini, turut membabitkan seorang pekerja asing yang baru hendak mula bekerja.

"Keperluan sekarang ialah memastikan pekerja baharu disaring terlebih dahulu.

"Ini keperluan dan majikan perlu memastikan pekerja disaring," katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Hari ini, Malaysia mencatatkan tujuh jangkitan baharu dengan enam adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham berkata, satu jangkitan baharu di dalam negara pula membabitkan seorang pekerja bukan warganegara, iaitu kes saringan untuk mula bekerja.

Beliau memaklumkan, tiada kematian akibat COVID-19 direkodkan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 117 kes.

Dalam pada itu, katanya, seramai 269 pelarian etnik Rohingya yang mendarat di pantai di Langkawi, semalam, sudah menjalani ujian kesihatan dan saringan COVID-19.

"Setakat ini, kita akan berbincang dalam mesyuarat Menteri Kanan. Tindakan seterusnya akan diambil bersama pelbagai agensi, bukan hanya Kementerian Kesihatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X