Selasa, 9 Jun 2020 | 3:43pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Rapid KL akur peraturan penjarakan sosial

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akur dengan arahan kerajaan meneruskan dasar penjarakan sosial di semua tren dan stesen perkhidmtan rel di bawah kendalian mereka.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan dasar berkenaan akan terus dilaksanakan sehingga keputusan baharu dibuat oleh kerajaan.

Sehubungan itu, semua penumpang yang akan kembali bekerja esok dapat mematuhi dasar yang ditetapkan dan sentiasa memberi kerjasama dengan pasukan Rapid KL yang bertugas di stesen.

"Pengguna diminta merancang perjalanan anda memandangkan bilangan penumpang akan bertambah.

"Kami amat menghargai komen dan pandangan rakyat Malaysia mengenai operasi perkhidmatan rel bandar," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Rapid Rail dalam satu kenyataan awal hari ini, memaklumkan perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi secara normal serta akan menamatkan peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat teguran Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, Rapid Rail perlu membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan terlebih dahulu sebelum mengumumkan untuk menamatkan peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen perhidmatan rel mereka.

"Kita faham masalah mereka apabila penjarakan sosial dilaksanakan maka akan berlaku pengurangan penumpang.

"Namun, ini bukan hanya membabitkan perkhidmatan MRT, LRT dan bas sahaja tetapi dalam pesawat penerbangan juga pengurangan penumpang sehingga 66 peratus.

"Jangan buat keputusan sendiri walaupun kurang penumpang dan kini alami kerugian. Jangan buat keputusan tanpa merujuk kepada kerajaan, tindakan itu salah," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Berita Harian X