Selasa, 9 Jun 2020 | 3:31pm

COVID-19: 'Jangan buat keputusan sendiri kerana kurang penumpang'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur tindakan pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd, yang menamatkan peraturan penjarakan sosial dalam tren dan stesen perkhidmatannya,

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, syarikat berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Mereka perlu memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kelulusan, bukannya tiba-tiba umum untuk tidak buat penjarakan sosial.

"Kita faham masalah mereka apabila penjarakan sosial dilaksanakan, akan berlaku pengurangan penumpang. Namun, ini bukan hanya membabitkan perkhidmatan MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan) dan bas tetapi juga pesawat dengan pengurangan penumpang sehingga 66 peratus.

"Jangan buat keputusan sendiri walaupun kurang penumpang dan kini alami kerugian. Jangan buat keputusan tanpa merujuk kepada kerajaan, tindakan itu salah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi secara normal dan menamatkan peraturan penjarakan sosial dalam tren dan stesen bermula esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.

Berikutan teguran Ismail Sabri itu, Rapid Rail menarik balik perkara itu dan akur untuk mematuhi pelaksanaan SOP penjarakan sosial di semua tren dan stesen perkhidmatan kendalian mereka.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Rapid Rail ditegur kerana mahu akhiri penjarakan sosial dalam tren kendaliannya. - Foto hiasan
    Rapid Rail ditegur kerana mahu akhiri penjarakan sosial dalam tren kendaliannya. - Foto hiasan
    Berita Harian X